Pelaburan Amazon RM29.2b, pengiktirafan Kerajaan Madani

Pelaburan Amazon RM29.2b, pengiktirafan Kerajaan Madani

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan Ama­zon Web Services (AWS), syarikat Amazon.com Inc sebanyak RM29.2 bilion menandakan bermulanya hubungan baharu syarikat terkemuka dunia itu dengan Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat beberapa komponen dalam hubungan baharu antara Malaysia dan AWS.

Menurut beliau, antaranya, AWS bakal melabur dalam pembinaan pusat data fizikal dan menjadikan Malaysia sebagai antara 34 wilayah dalam peta infrastruktur global Amazon.

Memuatkan artikel berkaitan…

“(Selain itu), lebih 3,500 pekerjaan untuk rakyat Malaysia akan diwujudkan secara langsung hasil pembinaan pusat data baharu ini.

“Pekerjaan ini yang me­rangkumi bidang pembinaan, penyenggaraan fasiliti, kejuruteraan, telekomunikasi, dan bidang-bidang lain dalam ekonomi kita, akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan bernilai tinggi AWS.

“Sebagai sebahagian daripada hubungan baharu ini, AWS menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan dengan kerajaan Malaysia untuk mempertingkatkan penggunaan tek­nologi awan dalam sektor awam,” katanya dalam satu klip video yang dimuatnaik di Facebook beliau, semalam.

Terdahulu, media melaporkan, AWS mengumumkan ko­mitmen pelaburan jangka panjang sebanyak RM29.2 bilion di Malaysia sehingga 2038 seiring pelancaran Wilayah AWS Asia Pasifik (Malaysia).

Pelancaran wilayah infra­struktur itu memberikan pe­maju, syarikat pemula niaga, usahawan dan perusahaan di Malaysia pilihan yang lebih luas untuk menjalankan aplikasi dan memberikan perkhidmatan kepada pengguna akhir daripada pusat data AWS tempatan.

Wilayah AWS yang baharu itu dijangka menyumbang kira-kira RM57.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menyokong secara purata lebih 3,500 pekerjaan sepenuh masa sehingga 2038.

Pekerjaan itu termasuk pembinaan, penyelenggaraan kemudahan, kejuruteraan, telekomunikasi dan lain-lain dalam ekonomi negara yang lebih luas, akan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan AWS di Malaysia.

Sementara itu, Anwar ber­kata, ia adalah komitmen pe­laburan jangka panjang yang dirancang oleh AWS dan menjadikannya antara pelaburan terbesar oleh syarikat teknologi global di Malaysia.

“Ini susulan beberapa pela­buran lain yang telah diumumkan sejak Disember 2023 oleh peneraju teknologi global se­perti Nvidia, Google, Microsoft, Infineon dan banyak lagi.

“Pelaburan-pelaburan ini ada­­lah pengiktirafan terhadap kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan Madani dalam mewujudkan dan merangka persekitaran pelaburan yang menarik, terbuka dan telus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN