KUANTAN: Empat ahli keluarga wanita yang maut dengan kesan jerut di leher di rumahnya di Indera Mahkota di sini pada Rabu minggu lalu disambung reman sehingga 28 Ogos ini.
Empat yang ditahan merupakan bapa mangsa, suami, bapa mertua dan ibu mertua mangsa berusia antara 27 hingga 62 tahun.
Keempat-empat ahli keluarga mangsa sebelum ini ditahan dan direman selama tujuh hari pada Khamis minggu lalu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu mengesahkan perkara terbabit.
Terdahulu, media melaporkan seorang suri rumah berusia 28 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan jerutan di leher dalam bilik tidur rumahnya di Indera Mahkota di sini, Rabu minggu lalu.
Mayat ibu kepada seorang anak berusia tiga tahun itu ditemukan ibu mertuanya kira-kira pukul 7.30 petang.
Sebelum itu difahamkan pihak polis ada menerima laporan berkaitan kehilangan wanita terbabit oleh bapanya kira-kira pukul 3.25 petang hari yang sama.
Polis kemudiannya menahan keempat-empat ahli keluarga mangsa pada keesokan harinya bagi membantu siasatan. – UTUSAN










