KUCHING: Kemarau 30 tahun Melaka untuk memenangi pingat emas dalam sukan skuasy Sukan Malaysia (Sukma) berakhir menerusi acara beregu wanita.
Pada aksi di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, semalam, gandingan U. Thanusaa dan Goh Zhi Xuan berjaya keluar daripada tekanan untuk memastikan kejayaan 9-11, 11-6 dan 11-6 ke atas wakil Sabah, Yee Xin Ying dan Doyce Lee Ye San.
“Sepanjang perlawanan, saya agak gementar, rasa tertekan untuk menang emas buat Melaka terutamanya selepas gagal melakukannya dalam beregu campuran.
“Kejayaan ini beri makna besar, bukan untuk saya saja tetapi buat mereka yang dibelakang saya, rakan sepasukan dan juga barisan kejurulatihan. Mereka pun dapat merasakan (nikmat) pingat emas kali ini,” kata Thanusaa.
Thanusaa menjadi individu paling puas dengan kejayaan ini kerana dihimpit kecewa di final beregu campuran, kelmarin selepas gandingannya bersama Andrik Kai Sham Lim tunduk 1-2 kepada peserta tuan rumah, Nathalie Shu Eng Sim dan Harith Danial Jefri.
Kali terakhir Melaka memenangi pingat emas acara skuasy di Sukma adalah menerusi Sharon Wee pada edisi 1994 di Perak.
“Saya pernah berbual dengan Sharon, dia minta kami supaya elak rasa gementar dan lakukan yang terbaik.
“Kami hanya bersabar untuk lakukan perancangan. Tetapi saya bokeh katakan ini adalah final paling sukar kerana mereka pemain kebangsaan,” kata Zhi Xuan.- UTUSAN










