KUCHING: Jaguh 400 meter (m) lari berpagar lelaki negara, Muhammad Fakrul Afizul Nasir tidak mahu bersikap ‘besar kepala’ selepas merekodkan dua rekod kebangsaan dalam tempoh setahun.
Sebaliknya atlet Kelantan itu masih kekal dengan kemahuan untuk menjadi lebih baik bagi memastikan dia mampu merekodkan masa yang lebih pantas pada masa hadapan.
Muhammad Fakrul menjelaskan untuk jadi pelari lebih baik, dia tidak boleh cepat berasa puas dengan pencapaian semasa dan perlu meletakkan sasaran lebih tinggi pada setiap kejohanan yang disertai.
“Perancangan saya adalah untuk menyiapkan diri bagi mendapatkan pingat di Sukan SEA dan saya juga mahu terus pecahkan rekod,” katanya yang bercita-cita untuk menamatkan larian dibawah 51 saat.
Kelmarin pelari Kelantan itu merekodkan 51.11s untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya, 51.26s yang dilakukan ketika Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia di Yecheon, Korea Selatan pada 7 Jun tahun lalu.
Peningkatan prestasi yang ditunjukkan Muhammad Fakrul sejak muka babitkan diri dalam acara 400m lari berpagar pada 2022 pastinya memberi khabar positif buat skuad olahraga negara.
Malah Muhammad Fakrul mengakui jurulatihnya, Amirul Naim Abdul Ghani di Sekolah Sukan Malaysia Pahang banyak memberikan ilmu berguna bagi memastikan kualiti lariannya dapat terus dibaiki.- UTUSAN










