KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak terpaksa menahan kesakitan dan menjalani pembedahan kecil selepas terpijak duri landak laut ketika beriadah di Pantai Tok Jembal dekat Kuala Nerus, Jumaat lalu.
Perkara itu dikongsikan oleh ibu kanak-kanak tersebut melalui akaun Facebook ‘Nurul Fathiyyah’ yang tular, semalam.
Beliau memaklumkan, anaknya yang bernama Harith hanya bermain di gigi air sahaja sebelum tiba-tiba menjerit kesakitan di atas pasir.
“Kami sangkakan dia terkena batu, sekali tengok nampak kesan hitam di kaki. Sebab terlalu panik, kami berdua angkat dan bawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Doktor tengok dan sahkan bahawa kaki Harith dimasuki duri landak laut.
“Dengar tangisan Harith, buat kami suami isteri tak senang duduk. Harith dalam kesakitan tapi kami tak boleh buat apa-apa melainkan menunggu doktor memberikan rawatan.
“Selepas buat x-ray di bahagian tapak kaki, doktor kata tak boleh keluarkan, kena masuk bilik bedah untuk buang sebab bilangannya terlalu banyak dan semuanya masuk ke dalam tapak kaki,” tulisnya dalam Facebook.
Tambahnya, selepas menjalani pembedahan kecil itu, semua duri landak itu berjaya dibuang dan anaknya stabil tanpa sebarang komplikasi.
Katanya, tujuan dia menulis mengenai perkara itu adalah sebagai peringatan kepada orang lain agar lebih berhati-hati ketika berkunjung ke pantai terutama di Pantai Tok Jembal.
“Ini untuk semua supaya beringat bahawa kawasan air di Tok Jembal tu memang banyak landak laut.
“Berdasarkan doktor bedah yang cerita bahawa dia kerap dapat kes landak laut dari kawasan Tok Jembal.
“Ibu bapa yang bawa anak main di situ, hati-hati sebab anak saya hanya main di gigi air sahaja. Bukan main kat tengah laut, tapi betul-betul di gigi air,” katanya. – UTUSAN







