KUALA TERENGGANU: Orang ramai tidak perlu terlalu bimbang berkunjung ke pantai berikutan tular kes seorang kanak-kanak terpaksa menjalani pembedahan kecil setelah terpijak duri landak laut di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus baru-baru ini.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Afiq Durrani Mohd. Fahmi berkata, ini kerana haiwan itu yang berada di dasar laut, boleh dilihat dengan jelas dan dielak daripada terpijak.
Menurutnya, kebiasaan habitat landak laut bersembunyi di bawah permukaan air di tepi pantai yang berpasir, celah-celah batu atau terumbu karang serts lebih aktif pada waktu malam.
Katanya, landak laut yang berwarna hitam kebiasaannya berada di kawasan setempat dalam tempoh yang lama dan merangkak perlahan-lahan.
“Bagi orang dewasa, mudah untuk mengelak daripada terpijak namun sebaliknya kanak-kanak mungkin tidak menyedari bahaya landak laut ini dan terpijaknya secara tidak sengaja.
“Duri yang tajam sebenarnya sangat rapuh, dan mudah patah, menyebabkan duri tertinggal dalam kulit. Jika tidak terlalu dalam, boleh dikeluarkan menggunakan tweezer seperti selumbar.
“Bagaimanapun, untuk kanak-kanak yang kulit mereka masih lembut, lebih mudah untuk duri landak laut ini tertusuk lebih dalam menyebabkan kesakitan yang memerlukan rawatan lanjut dari doktor perubatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Kosmo! hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak terpaksa menanggung kesakitan dan menjalani pembedahan kecil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana terpijak duri landak laut di Pantai Tok Jembal.
Perkongsian ibu mangsa di Facebook tular di kalangan warganet dan ramai yang menyuarakan kebimbangan mereka untuk membawa anak-anak beriadah ke pantai.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengunjung perlu mengelak daripada memijak kawasan dasar walaupun cetek jika tidak dapat melihat dengan jelas di dasar tersebut.
“Untuk lebih selamat, elakkan berpijak dan lebih baik jika berenang atau mengapungkan diri semasa bermandi di pantai. Boleh juga gunakan kasut yang sesuai di kawasan pantai.
“Jika terkena tusukan duri landak laut dan kawasan itu membengkak serta kepanasan, perlu dapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan kerana bimbang ada infeksi sampingan,” katanya. – UTUSAN










