'Saya jadi YB untuk semua orang di Nenggiri' - Utusan Malaysia

‘Saya jadi YB untuk semua orang di Nenggiri’

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (dua kanan) semasa diumumkan menang pada PRK DUN Nenggiri, Gua Musang, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bertekad akan menjadi Yang Berkhidmat (YB) kepada penduduk Nenggiri tanpa mengira warna parti politik.

Mohd. Azmawi Fikri yang diumumkan memenangi kerusi DUN Nenggiri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini dengan majoriti 3,352 undi berjanji menggalas tanggungjawab itu sebaiknya.

Katanya, dia tidak menjangka kemenangan dengan majoriti yang besar.

“Semestinya bermula saat ini saya akan menjadi wakil rakyat DUN Nenggiri dan berikrar akan menjadi Yang Berkhidmat kepada mereka semua tanpa mengira warna politik.

“Selepas habis membuang undi, saya kira tanggungjawab ini mesti saya galas untuk jadi wakil kepada mereka semua,” katanya kepada pemberita di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azmawi Fikri, esok dia akan terus bertemu pengundi di kawasan Sungai Asap.

Katanya, selepas itu dia akan menjelajah seluruh kawasan di DUN Nenggiri untuk bertemu dengan penduduk yang memberi kemenangan kepadanya.

“Saya bersyukur kepada Allah di atas kemenangan ini dan tidak pernah menduganya.

“Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, kepimpinan UMNO, jentera dan pengundi kerana memberi kepercayaan kepada saya menjadi wakil rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Azmawi Fikri menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh undian 9,091 undi manakala Mohd. Rizwadi 5,739 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×