Serangan tidak berhenti, penduduk semakin kritikal

Serangan tidak berhenti, mangsa perang semakin kritikal

Rakyat Palestin memeriksa kerosakan rumah mereka berdekatan kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza yang menjadi sasaran serangan bom, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keadaan ribuan penduduk di Gaza semakin kritikal dan seperti tidak menampakkan jalan penyelesaian apabila serangan daripada tentera rejim Zionis tidak berhenti.

Situasi tersebut menyebabkan kebanyakan penduduk di sana hidup dalam ketakutan, beratapkan langit tanpa sebarang khemah dengan suara tangisan kanak-kanak yang kelaparan setiap hari.

Menurut rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 38, setakat ini lebih 40,000 orang telah syahid dan 6,456 daripadanya merupakan kanak-kanak.

Katanya, keadaan mereka juga sangat kritikal dan letih dengan tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi selain harga makanan di sana juga sangat mahal.

“Mereka sudah sangat-sangat letih, ramai yang duduk dan tidur di tepi jalan, tidak ada khemah dan sebarang bekalan makanan.

“Harga barang makan juga luar biasa, dua biji timun, dua tomato dan sedikit sayur lain lebih kurang RM60 dan syampu rambut harga RM180 untuk satu botol,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tentera Israel melakukan tiga pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lepas, mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 rakyat Palestin terbunuh dan 107 lagi cedera, menurut sumber perubatan.

Menurut sumber yang sama, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat membantu ramai mangsa dan membawa keluar mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau yang berselerakan di jalan-jalan di seluruh kawasan bergolak itu kerana tentera Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan pasukan pertahanan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×