Rumah yang mempunyai laman adalah impian kebanyakan orang.
Apatah lagi, laman boleh ditransformasi menjadi landskap yang menambah seri pada sesebuah kediaman.
Minggu ini, Seri kongsikan laman indah pemilik kediaman, Muhamad Adli Salihin Samsudin yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.
Rumah corner lot itu memiliki laman berkonsepkan Tropika minimalis yang menggabungkan keindahan hamparan rumput permaidani hijau dan bunga-bungaan estetik.
Menariknya, laman itu direka bentuk sendiri oleh Muhamad Adli termasuk pemilihan konsep laman, tanaman yang bersesuaian dengan konsep serta pemilihan perabot landskap yang sangat ringkas untuk kawasan yang berkeluasan 1200 kaki persegi itu.
“Konsep ini dipilih kerana konsep laman tropika ini adalah satu konsep yang menggabungkan pelbagai tanaman estetik terdiri daripada pelbagai karakter tanaman eksotik.
“Laman ini juga mengetengahkan kombinasi warna dan morfologi tanaman yang menarik dan pelbagai,” katanya yang mengambil masa selama dua minggu untuk proses penyediaan kawasan penanaman.

Gabungan dua elemen
Terdapat dua elemen penting dalam menghasilkan projek landskap.
Muhammad Adli yang juga lulusan Ijazah Sarjana Senibina Landskap berkata, pertama adalah elemen landskap lembut yang merujuk kepada tanaman hiasan.
Bagi kediamannya, Muhamad Adli menggunakan 14 tanaman berbeza untuk membangkitkan ruang.
Antaranya, pokok Sepit Udang (Heliconia rostrata), pokok Mini Helikonia (Heliconia ‘American Dwarf’), pokok Kelat Paya (Eugenia oleana) dan pokok Thai Jasmin (Wrighthia Thai).
Selain itu, bagi menjadikan laman sebagai hamparan hijau yang produktif dan semula jadi, pemilik menggunakan rumput asli iaitu Rumput Mutiara, Axonopus compressus ‘Pearl Grass’ pada keseluruhan kawasan.

Elemen kedua adalah Landskap Kejur yang merujuk kepada perabot landskap yang menjadi pelengkap kepada laman.
Perabot yang digunakan antaranya adalah kerusi taman, pembinaan Patio berbumbung, laluan pejalan kaki konkrit, laman vertikal dan laluan refleksologi.
“Kombinasi dua elemen yang direka khusus untuk rumah ini diadunkan mengikut citarasa tersendiri.
“Selain dari tanaman hiasan, saya juga menanam tanaman herba kulinari seperti limau purut, limau kasturi, pandan wangi dan pokok kari. Semuanya digunakan dalam kegunaan harian sama ada untuk masakan atau aromaterapi.
“Saya juga menyediakan menyediakan laluan refleksologi berskala kecil yang berfungsi sebagai elemen terapi fizikal yang dibina bersebelahan dengan patio berbumbung,” jelasnya.

Selain cantik, fungsi tanaman asli itu juga penyumbang utama kepada oksigen dan menyerap gas pencemar seperti karbon dioksida.
Selain mengindahkan suasana, laman juga mampu memberikan menjadi terapi alam semula jadi tatkala beristirehat.
Bagi aspek penyelenggaraan pula, aktiviti menyiram, mencabut rumpai, menggembur tanah, memangkas dahan atau daun kering, membaja dan juga pembersihan kawasan perlu dilakukan secara berkala.










