KPDN tumpaskan sindiket simpan, edar LPG secara haram - Utusan Malaysia

KPDN tumpaskan sindiket simpan, edar LPG secara haram

ARMIZAN Mohd. Ali ketika menyertai Op Tiris 3.0 membabitkan LPG di Lukut, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan satu sindiket yang disyaki terlibat dalam aktiviti membabitkan ketirisan subsidi gas petroleum cecair (LPG) di Lukut, di sini, hari ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, maklumat daripada orang awam diterima dan penguatkuasa KPDN membuat permantauan di lokasi premis yang menempatkan stor haram tersebut selama dua minggu sebelum melakukan serbuan pagi tadi.

Bagaimanapun menurutnya, dalam serbuan tersebut dua lelaki dipercayai pekerja premis tersebut berjaya meloloskan diri dan seorang anggota penguatkuasa telah mengalami kecederaan kerana bergelut dengan dua lelaki berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut, penguat kuasa telah menemui sejumlah 186 unit tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14 dan 50 kilogram, alat timbang elektronik, paip getah penyambung yang dipercayai digunakan dalam aktiviti decanting (penyiringan).

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM33,130. Semakan lanjut juga mendapati premis tersebut tidak mempunyai dokumen yang sah untuk menjalankan urus niaga berkaitan barang kawalan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai Op Tiris 3.0 membabitkan LPG di Lukut, di sini, hari ini.

Armizan menjelaskan, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes berkenaan sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran LPG tersebut.

Selain itu menurut beliau, syarikat tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

“Siasatan akan melibatkan aspek kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita dan perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan gas petroleum cecair,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan melalui penguatkuasaan di bawah Op Tiris 3.0, bagi tempoh bermula 1 Januari sehingga hari ini, sebanyak 27,971 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,900 kes dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM74.85 juta telah direkodkan.

“Seramai 469 individu juga telah ditahan dalam tempoh tersebut. Bahkan, daripada 1900 kes yang dicatatkan di bawah Op Tiris 3.0, sebanyak 127 kes melibatkan LPG telah direkodkan di seluruh negara dengan nilai rampasan berjumlah RM748,549.40,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×