ISTANBUL: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas merancang untuk melawat Gaza walaupun nyawanya boleh terancam, ketika serangan Israel yang membunuh lebih 40,000 orang setakat ini masih berterusan.
Agensi berita Al Jazeera melaporkan, Mahmoud turut secara terbuka mengecam tindakan dunia yang membisu terhadap kekejaman yang dilakukan rejim di wilayah berkenaan.
“Saya memutuskan untuk ke Gaza bersama pemimpin-pemimpin Palestin.
“Saya akan menggunakan kuasa yang saya ada untuk menghentikan pencerobohan keji ini, walaupun ia mungkin mengorbankan nyawa kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Parlimen Turkiye di Ankara semasa sesi khas mengenai Palestin yang turut dihadiri Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, ratusan ahli Parlimen dan pegawai tertinggi lain negara itu.
Butiran mengenai tarikh dan bagaimana beliau akan ke Gaza tidak didedahkan.
Pada acara sama, Mahmoud turut menegaskan rakyat Palestin tidak akan patah semangat dan tidak akan menyerah dengan mudah kepada Israel, malah berikrar akan membangunkan semula Gaza.
“Kami akan membina semula Gaza dan menyembuhkan luka rakyat kami dengan sokongan negara-negara Arab dan Islam serta sekutu global,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Erdogan atas sokongan yang dianggapnya sebagai berprinsip dan berani terhadap rakyat Palestin.











