Ibu, anak maut kemalangan ketika ke sekolah

Ibu, anak maut kemalangan ketika ke sekolah

SAKINAH Kamarudin dan anaknya, Aisyah Qaisara Khairul Rahmat yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Kangsar-Manong di Kuala Kangsar, semalam. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Tidak sangka perbualan dengan isterinya tentang rutin pagi hendak ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah adalah percakapan terakhir mereka berdua.

Kesedihan itu dialami oleh Khairul Rahmat Mohammed Tahir, 35, yang kehilangan isterinya Sakinah Kamarudin, 37, apabila maut dalam kemalangan melibatkan kereta yang dipandunya dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Kemalangan turut mengorbankan seorang daripada anak pasangan itu, Aisyah Qaisara Khairul Rahmat, 9, manakala seorang lagi Nur Safa’ Rafissah Khairul Rahmat, 10, cedera parah.

“Saya sedang menjaga bapa yang sakit di Hospital Kuala Kangsar. Saya telefon isteri saya sekitar pukul 7 pagi bertanyakan persiapan mereka hendak ke sekolah dan tempat kerja.

“Kemudian, saya dihubungi oleh kerani sekolah tentang kemalangan yang berlaku. Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati isteri dan seorang anak sudah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Sakinah bekerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Pusat Kegiatan Guru Manong manakala kedua-dua anaknya bersekolah di SK Lempor.

Selepas kemalangan, anak sulung mereka yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapat rawatan lanjut kerana mengalami kecederaan di kepala.

Jenazah ibu dan anak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Kampung Ketior Dalam selepas solat Asar.

Nahas tersebut berlaku sekitar jam 7.30 pagi di Jalan Kuala Kangsar-Manong kira-kira lima kilometer dari rumah mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh dan berpusing masuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa yang sama, sebuah MPV jenis Vellfire datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh sisi kiri Honda City terbabit.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan Honda City tersepit dalam kenderaan, sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penumpang belakang kereta terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke hospital, manakala pemandu MPV iaitu seorang lelaki berusia 62 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×