WHO isytihar Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam

WHO isytihar Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam

SIMPTOM cacar monyet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan wabak Cacar Monyet atau Mpox sebagai kecemasan kesihatan awam untuk kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Ia susulan penularan wabak di Congo di samping jangkitan sama membabitkan negara-negara jiran berhampiran.

Jawatankuasa Kesihatan pada Rabu mengadakan pertemuan untuk menasihatkan Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus sama ada untuk mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa (PHEIC).

Status PHEIC ialah tahap kewaspadaan tertinggi WHO dan bertujuan untuk mempercepatkan penyelidikan, pembiayaan dan langkah kesihatan awam antarabangsa serta kerjasama untuk membendung sesuatu penyakit.

“Adalah jelas bahawa tindak balas antarabangsa yang diselaraskan adalah penting untuk menghentikan wabak ini dan menyelamatkan nyawa,” kata Tedros seperti memetik laporan Reuters.

Mpox boleh merebak melalui hubungan rapat. Biasanya ringan, ia membawa maut dalam kes yang jarang berlaku dan menyebabkan simptom seperti selesema dan luka nanah pada badan.

Wabak di Congo bermula dengan penyebaran endemik, yang dikenali sebagai Clade 1, tetapi varian baharu iaitu Clade lb kelihatan lebih mudah merebak melalui kontak rapat, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Mpox telah menjadi endemik di benua Afrika selama beberapa dekad selepas ia pertama kali dikesan di Congo pada tahun 1970.

Virus tersebut telah merebak ke lebih 100 negara pada 2022, di mana sebahagian besarnya melalui hubungan seksual, mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan namun ditamatkan 10 bulan kemudian kerana jangkitan tersebut terkawal.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×