SHAH ALAM: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Edotco Group (Edotco) komited memperkukuhkan ekosistem digital terutama dalam sektor pertanian, bandar dan pelancongan.
Kerjasama strategik antara kedua-dua pihak itu dan Boost dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MOU) hari ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Edotco sebagai syarikat infrastruktur telekomunikasi berupaya memajukan ekonomi digital menerusi inisiatif Malaysia Digital (MD).
Menurutnya, MDEC akan menggunakan kepakaran syarikat itu dalam menyokong ekosistem MD dengan mempertingkatkan sektor digital pertanian, bandar dan pelancongan.
“Edotco membolehkan syarikat pemula teknologi atau perusahaan memanfaatkan kuasa teknologi digital selain meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
“Selain membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, kerjasama ini mampu merapatkan jurang bandar dan luar bandar dengan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam era digital,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pemeteraian MOU itu, hari ini.
Pemeteraian MOU tersebut disempurnakan antara Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Edotco, Adlan Tajudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Seyantha Abeykoon.
Tambah Gobind, kerjasama inovatif antara Edotco dan Boost yang memperkenalkan inisiatif akses kredit pemilik tanah menara turut selaras dengan hasrat kerajaan bagi pendigitalan kewangan.
“Selain memberi faedah kewangan, inisiatif itu meningkatkan kecelikan pemilik tanah yang kebanyakannya tidak mempunyai akaun bank tertentu
“Ini bukan sekadar kerjasama perniagaan malah meliputi inovasi sekali gus sejajar matlamat kerajaan menggalakkan kemasukan dan penyertaan digital, terutama dalam perkhidmatan kewangan,” jelasnya.
Sementara itu, Adlan Tajudin berkata, pihaknya mahu memastikan ekosistem teknologinya mempunyai akses kepada infrastruktur canggih bagi membolehkan syarikat pemula berkembang maju.
“Kami juga akan menyediakan kestabilan kewangan dan memperkasakan pemilik tanah yang kurang mendapat perkhidmatan. Kerjasama ini mengukuhkan komitmen Edotco bagi memupuk pertumbuhan inklusif sekali gus membina Malaysia yang lebih kukuh dan terhubung,” ujarnya. – UTUSAN










