Pulang ke Thailand sambil bawa minyak bersubsidi

Pulang ke Thailand sambil bawa minyak masak bersubsidi

PENYELUDUP dikatakan mengambil kesempatan membawa minyak masak dengan menyembunyikannya di sebalik barangan lain di dalam lori atau pikap ketika dalam perjalanan pulang ke Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Menyembunyikan minyak masak bersama barangan eksport lain di dalam lori atau pikap dari Thailand menjadi taktik penyeludupan minyak masak bersubsidi tersebut ke negara jiran melalui laluan darat di kawasan sempadan Padang Besar di sini.

Penyeludup dikatakan mengambil kesempatan membawa minyak masak tersebut dengan menyembunyikan di sebalik barangan lain ketika dalam perjalanan pulang ke Thailand selepas menghantar barangan di negara ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Malah, mereka juga dikatakan menggunakan gudang di sini sebagai tempat transit sebelum menyeludup minyak tersebut ke negara jiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) negeri, Deputi Superintenden Azizan Saman berkata, dalam perjalanan pulang membawa barangan eksport dari negara ini, mereka akan menyelit minyak masak bersubsidi itu.

Katanya, minyak masak paket bersubsidi itu lazimnya diletakkan di bahagian belakang kenderaan perdagangan dari Thailand seperti pikap atau lori yang disembunyikan bersama barangan makanan lain seperti minuman, tepung, mi segera dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun, katanya, tindakan penyeludup tersebut berjaya dikesan pihaknya yang melakukan banyak rampasan sebelum ini.

“Sejak awal tahun sehingga kini, kita berjaya merampas 952 kilogram minyak masak paket bersubsidi bernilai RM72,380.

“Ianya melibatkan dua kes iaitu pertama adalah rampasan sebuah kenderaan pikap manakala satu lagi di sebuah gudang penyimpan di sekitar Padang Besar baru-baru ini,” katanya.

Tambah Azizan, dua kes tersebut melibatkan tangkapan seorang warga Thailand yang merupakan pemandu pikap, manakala seorang warga tempatan iaitu pemilik gudang.

“Kebiasaan tangkapan melibatkan pemandu pikap atau lori dari negara jiran kerana kenderaan tersebut adalah berasal dari Thailand yang datang ke sini bagi menghantar barang dan kemudian balik semula dengan barangan dari negara ini.

“Bagi keseluruhan tahun lalu sahaja, kita berjaya merampas 29,289 kilogram minyak masak paket bernilai RM635,022.50 serta menahan lapan individu dan tujuh buah pikap,” katanya.

Katanya lagi, permintaan tinggi terhadap minyak masak bersubsidi di negara jiran itu mendorong kepada aktiviti penyeludupan tersebut.

Minyak masak paket di negara ini berharga RM2.50 dan bagi pasaran di Thailand pula dikatakan mencecah RM4 sekali gus memberi keuntungan lumayan kepada penyeludup.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendedahkan pakatan jahat antara pengedar, pemborong dan pembungkus minyak masak menyeleweng subsidi bernilai kira-kira RM50 juta yang diberikan kerajaan setiap bulan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, itu adalah punca yang dikesan berlaku dalam kalangan pihak industri sehingga menyebabkan ketirisan barang kawalan dan merugikan kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN