NASIB dua calon Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 pada 5 November ini bergantung kepada 2.2 juta atau satu peratus pengundi Islam daripada jumlah sebenar 244 juta keseluruhan pengundi berdaftar di negara itu.
Memandangkan hanya satu peratus pengundi Islam di negara itu, maka timbul persoalan adakah mereka mampu menentukan nasib Harris daripada parti Demokrat dan Trump selaku wakil Republikan dalam pilihan raya tersebut.
Hal ini kerana Al-Jazeera melaporkan peratusan keluar mengundi dalam kalangan komuniti Islam di AS bakal mempengaruhi kemenangan Harris atau Trump.
Jika mereka mengambil pendirian menyokong Trump atau memboikot pilihan raya, malah Harris boleh tewas memandangkan undi Demokrat bergantung penuh kepada komuniti Islam.
Ini mengambil kira kemenangan tipis Joe Biden ketika Pilihan Raya Presiden 2020 kerana faktor komuniti Islam di Michigan yang menyebelahi beliau berbanding Trump dengan kelebihan 150,000 undi.
Malah situasi sama melibatkan negeri-negeri penting seperti Pennsylvania dan Wisconsin yang memiliki ramai penduduk Islam dan Arab-Amerika.
Selepas empat tahun berlalu, adakah indikator sama berlaku dalam pilihan raya kali ini memandangkan AS masih menjadi sekutu kuat Israel dengan membekalkan senjata api ke negara itu untuk melakukan serangan sehingga membunuh hampir 40,000 rakyat Palestin di Gaza.
Malah perkembangan baharu jurucakap kempen Harris menafikan dakwaan bahawa calon Demokrat itu pernah mengeluarkan kenyataan untuk menghentikan aktiviti pembekalan senjata api ke Israel sekali gus menjejaskan potensi pemimpin itu untuk meraih sokongan komuniti Islam di negara itu.
Meskipun Harris dikatakan menzahirkan simpati terhadap kesengsaraan penduduk Gaza, namun beliau hanya mendesak agar gencatan senjata api dilakukan segera.
Bagaimanapun wanita itu dikatakan mempunyai sedikit kelebihan apabila pemimpin komuniti Arab Amerika menyifatkan pemilihan Gabenor Minnesota, Tim Walz sebagai calon Demokrat Naib Presiden dalam pasukan Harris sebagai satu keputusan yang tepat.
Presiden Persatuan Pembangunan Orang Kulit Hitam Kebangsaan (NAACP) Detroit, Wendell Anthony pula menyamakan situasi kempen Harris dan Walz seperti bekas Presiden, Barack Obama pada 2008 apabila golongan kulit hitam benar-benar menunjukkan sokongan mereka, kata seperti dilaporkan Arab News.
Namun berbanding Trump dan Harris, Presiden AS yang ke-45 itu dilihat memiliki imej buruk kalangan komuniti Muslim kerana bukan sahaja tidak pernah membantah tindakan Israel, malah keceluparan mulutnya berhubung isu Palestin ketika debat Presiden AS pada Jun lalu.
Dalam debat itu, Trump melabelkan Biden sebagai ‘seorang Palestin paling teruk’ dan tidak mahu membantu Israel menghapuskan Hamas dalam perang di Gaza.
“Dia tidak mahu kerana mahu seperti orang Palestin, sebab itu ramai tidak suka beliau kerana merupakan warga Palestin paling teruk, dia amat lemah,” katanya.
Oleh sebab ini, isu Palestin merupakan topik hangat menjelang kempen pilihan raya apabila masing-masing dilihat mahu menjaga hati pengundi Islam khususnya di 12 negeri yang majoriti penduduk beragama Islam.
Menurut data dikeluarkan Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), 12 negeri tersebut adalah California, California, New York, Virginia, Texas, Michigan, New Jersey, Florida, Illinois, Maryland, Georgia dan Ohio sekali gus menyebabkan setiap calon berhati-hati dalam menyentuh isu sentiviti umat Islam di negara tersebut.
Walau bagaimanapun timbul desas-desus bahawa komuniti Islam tidak akan keluar mengundi kerana kedua-dua calon mempunyai pendirian sama menyokong Israel meskipun berbeza fahaman politik, sekali gus tidak menolak bahawa tindakan memboikot pilhan raya boleh berlaku.
Keadaan ini sekali gus menjejaskan peluang Harris kerana kebanyakkan komuniti Islam cenderung kepada Demokrat berbanding Republikan dan dilihat boleh memberi laluan kemenangan Trump untuk menjadi Presiden AS sekali lagi.











