JEDDAH: Iran mengulangi pendirian tegas untuk mempertahankan wilayahnya daripada serangan Israel ekoran tiada pilihan lain selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) juga dilihat gagal memainkan peranan dalam konflik berkenaan.
Pemangku Menteri Luarnya, Ali Bagheri-Kani berkata, Teheran terpaksa menggunakan hak mempertahankan diri daripada tindakan ganas Israel jika tiada tindakan dilakukan UNSC terhadap pencabulan dilakukan Tel Aviv di wilayahnya.
“Jika tidak ada tindakan yang sesuai oleh UNSC terhadap pencerobohan dilakukan Israel di Iran, kami tiada pilihan selain menggunakan hak untuk mempertahankan diri secara sah,” katanya seperti dipetik agensi al-Arabiya.
Beliau berkata demikian pertemuan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi, semalam.
Mesyuarat tersebut diadakan sebahagiannya atas permintaan Iran, berikutan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu serangan di Teheran oleh Israel yang disifatkan menjejaskan kedaulatan negaranya.
Israel tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Dalam pertemuan itu, OIC sebulat suara menuduh Israel mendalangi serangan yang membunuh Ismail.
Satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa blok 57 negara anggota itu merumuskan, Israel selaku kuasa penjajah yang tidak sah, bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan kejam itu yang turut menceroboh kedaulatan Iran.-AGENSI










