Pengangkutan awam efektif di Shah Alam pada 2035 - Utusan Malaysia

Pengangkutan awam efektif di Shah Alam pada 2035

Pengangkutan awam
NOR Fuad Abdul Hamid (kiri) bergambar bersama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) Ke-15, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ibu negeri ini bakal menjalani Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) sebagai usaha untuk mengoptimumkan manfaat pengangkutan awam daripada pembinaan dua stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang dijangka siap pada tahun hadapan.

Malah, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu Negeri Selangor itu akan menjadi lebih berkesan menjelang 2035.

Datuk Bandarnya, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid berkata, selain pelaksanaan TOD, MBSA turut bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membina kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik kerja-kerja pemantauan jalan berlubang di kawasan MBSA dan sekaligus memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pelaksanaan TOD melibatkan kawasan yang berdekatan dengan dua stesen LRT di bandar raya ini iaitu Persiaran Datuk Menteri dan Stadium Shah Alam. Dalam kawasan stesen pula, kita akan galakkan penggunaan kenderaan mikro mobilitik (skuter elektrik).

“Pembangunan AI pula melibatkan 2,000 kilometer (km) jalan perbandaran yang mana 500km sudah selesai pembinaannya MBSA menandatangani memorandum persefahaman Projek Perintis Menggunakan Aplikasi Pavement-AI bersama Urban Explorer Sdn Bhd yang memperoleh geran RM1 juta daripada MOSTI,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society For Transportation Studies (EASTS) Ke-15, hari ini.

Tambahnya, pembangunan pengangkutan awam di bandar raya ini penting memandangkan Shah Alam kini mempunyai kira-kira 800,000 orang penduduk dan 6.9 peratus daripadanya merupakan warga emas.

“Pada masa ini, laluan bagi basikal dan skuter elektrik yang siap dibina adalah sejauh 20km dan pada masa hadapan sejauh 58km lagi akan dibina bagi kenderaan mikro mobiliti yang semakin popular. Kita juga menggalakkan penggunaan kenderaan mikro mobiliti dalam kalangan warga emas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nor. Fuad turut memaklumkan berkenaan penggalakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang mesra alam dengan menambah jumlah kemudahan tempat mengecas kenderaan terutama di kawasan pusat bandar.

“Buat masa ini kita bermula dengan 10 stesen pengecas EV hasil kerjasama dahulu dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (kini dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) yang ditempatkan di bangunan milik MBSA.

“Garis panduan terkini akan dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (Plan Malaysia) dan Kementerian Pengangkutan (MOT). Kita tidak mahu berlaku kerosakan (semasa proses mengecas) kerana kenderaan terbabit menggunakan bateri,” jelasnya.

Katanya lagi, menurut Plan Malaysia pusat pengecas di kawasan parkir dihadkan dua peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan petak tempat letak kereta dalam sesuatu tempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya