SEREMBAN: Seorang pemuzik jalanan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar kepercayaan bertentangan agama Islam berkaitan ajaran Millah Abraham kepada anak lelakinya.
Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Norasid Md. Said, 50, selepas meneliti hujahan pihak pendakwaan dan menimbang rayuan tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Norasid didakwa telah mengajar kepada anak lelakinya berusia 16 tahun dengan menyatakan ‘Akan ada nabi selepas Nabi Muhammad, nabi itu ialah nabi Messias’.
Kesalahan itu dilakukan di Felda Palong 3, Gemas lebih kurang pukul 8 malam hingga 11.59 malam antara 1 Jun hingga 30 Jun 2023.
Pendakwaan terhadap Norasid dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu dalam prosiding kes, Norasid dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang ringan dan memberitahu mahkamah sekiranya didenda tidak mampu membayarnya.
“Saya mohon hukuman diringankan jika dihukum penjara, jika dikenakan wang jaminan tinggi saya tidak mampu sebab tidak bekerja dan menanggung keluarga,” katanya.
Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih berat atas faktor mengajar ajaran salah adalah kesalahan berat yang dengan berkaitan kesucian agama Islam.
“Saya mohon mahkamah menetapkan hukuman yang dapat menyekat atau sebagai satu amaran kepada pengikut lain supaya takut dengan tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap mereka jika berterusan mengamalkan ajaran ini,” katanya.
Abdul Wafi berkata, berdasarkan modus operandi pengembangan ajaran Millah Abraham dari Indonesia itu tertumpu kepada ajaran melalui keluarga.
“Pada 11 Julai lalu, tertuduh juga disabitkan bersalah mengajar ajaran ini (Millah Abraham) kepada isterinya dan hari ini pertuduhan mengajar ajaran sama kepada anak lelakinya,” katanya.
Selain itu, Norasid tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran salah kepada seorang wanita berusia 46 tahun berkaitan ayat al-Quran yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu ‘Makna ayat surah al-Fatihah : ‘Maliki yau middin’ yang menguasai hari pembalasan bukanlah hari kiamat tetapi hari di mana kita ditimpa musibah ketika di dunia’.
Kesalahan itu dilakukan di Taman PBGF Harmosi, Gemas pada pukul 5 petang, 24 April 2023 di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Oktober depan.
Sebelum ini, pada 11 Julai lalu Utusan Malaysia melaporkan Norasid dijatuhi hukuman denda RM2,000 dan penjara satu bulan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar kepercayaan bertentangan agama Islam berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya.
Tertuduh telah dibawa ke Penjara Jelebu untuk hukuman pemenjaraan setelah gagal membayar denda.
Tiga beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dalam serbuan di dua buah rumah berasingan di Sungai Kelamah, Gemas dan Felda Palong 3 pada 10 Julai lalu.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pasangan suami isteri berusia 40-an serta anak lelaki mereka berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 petang.
Suami isteri itu ditahan di rumah sewa mereka di Sungai Kelamah manakala anaknya di rumah asal mereka di Felda Palong 3.-UTUSAN.










