MUNCUL bisikan-bisikan yang bertiup ke telinga pelakon, Syad Mutalib, 27, adakah dia benar-benar bersedia untuk berumah tangga sebelum sah bergelar isteri kepada Adil Fahmi pada 27 April lalu.
Pertanyaan-pertanyaan itu dilayangkan ketika mana Syadiyatul Qistina Abdul Mutalib ini masih merangkak, mencari tapak dalam dunia lakonan.
Betullah, kebiasaan dan kebanyakan lelaki atau perempuan yang menceburi bidang ini, mereka bermula solo, tumpukan dahulu kepada usaha membina kerjaya sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Tetapi Syad menongkah arus. Dia percaya, bergelar isteri orang tidak menyekat atau menghalang rezeki menjadi pelakon. Padanya, selagi keinginan itu menebal, dia teruskan.
“Keputusan untuk berkahwin telah dibincangkan semasak-masaknya dengan pasangan. Masa mula-mula berlakon dua tahun lepas, hati dan fikiran saya berbolak balik, mahu atau tidak saya berkahwin ketika itu kerana saya pun baru mula berlakon. “Tambah lagi ramai pula yang bertanya soalan cepu emas itu.
“Saya tetapkan hati dan pendirian. Saya percaya rezeki tetap ada. Mungkin peluang untuk mendapat tawaran berlakon lebih terbuka luas kalau saya bujang. Tapi saya tahu apa yang saya mahukan. Kalau ada peluang berlakon, adalah.” Katanya.
Kata anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini, suaminya tidak pernah menghalang impiannya menjadi pelakon. Bahkan Adil sentiasa memberi sokongan agar isteri gembira dengan kerjaya pilihannya.
“Alhamdulillah, suami membenarkan. Dia pun tahu saya benar-benar minat kerjaya ini dan fokus dalam menceburinya,” kongsinya.
BELUM TERLAMBAT
Graduan bidang kejuruteraan mekanikal, Universiti Teknologi Mara, Pulau Pinang ini hanya berusia kira-kira 25 tahun ketika dia baru-baru berjinak-jinak menjadi pelakon sekitar dua tahun lalu.
Syad berbeza dengan ramai pelakon baru zaman sekarang yang bermula seawal belasan tahun. Katanya, dia tidak pernah menyesal bermula lambat.
Baginya, yang berlaku dalam hidupnya sekarang ini berjalan seperti yang dirancangnya sebelum ini.
“Sebenarnya saya lega kerana dapat mengejar cita-cita selepas saya tamatkan pembelajaran. Saya memang rancang betul-betul.
“Sebenarnya, walaupun minat berlakon, saya tidak pernah terfikir kerjaya saya akan terarah ke bidang ini.
“Tapi peluang itu terbuka luas untuk saya, jadi, kenapa perlu saya sia-siakannya?” Jelasnya.
Dalam pada itu, Syad memaklumkan tidak berasa rugi kerana tidak menjadi jurutera. Katanya, apa yang dipelajari di universiti juga bermanfaat dan digunapakai dalam kehidupan sekarang.
“Saya belajar banyak perkara ketika di universiti. Walaupun tidak bergelar jurutera, ilmu yang saya peroleh itu tidaklah saya sia-siakan. Ia mempersiapkan saya untuk kehidupan sebenar,” katanya.











