PM setuju polis buka semula kertas siasatan kes Beng Hock

PM setuju polis buka semula kertas siasatan kes Teo Beng Hock

TENG Shuw Hoi (tengah) bersama Teoh Leong Hwee mengadakan sidang akhbar selepas pertemuan dengan Anwar Ibrahim yang mendesak kerajaan agar mempercepatkan siasatan ke atas kematian anaknya, Teoh Beng Hock di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian kerajaan yang bersetuju untuk pihak polis membuka semula kertas siasatan kes Teoh Beng Hock.

Perdana Menteri malah memberi jaminan bahawa proses penyiasatan pada kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil.

“(Ia juga) adil tanpa campur tangan mana-mana pihak khususnya (dengan) mengambil kira pandangan mahkamah rayuan berhubung kes ini pada 5 September 2014,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau bertemu ahli keluarga mendiang di pejabatnya di sini, hari ini selama sejam serta dapat berbual panjang dengan ibu bapanya, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee.

Turut hadir anak Beng Hock, Teoh Er Jia yang kini berusia 15 tahun, dan adik perempuan bongsu mendiang, Teoh Lee Lan serta peguam keluarga berkenaan, Ramkarpal Singh.

Pada 15 Julai lalu, Anwar berjanji untuk bertemu keluarga mendiang susulan insiden oleh sekumpulan aktivis yang menuntut keadilan Beng Hock telah disekat memasuki Parlimen.

Mendiang ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di aras bumbung tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor dan pihak polis merujuk kes berkenaan disebabkan bunuh diri.

Sehari sebelum itu, beliau hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat bangunan berkenaan bagi satu kes penyelewengan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan yang dikemukakan daripada pihak keluarga tersebut sepanjang pertemuan itu.

“Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang,” tambahnya.

Sementara itu, Shuw Hoi, 71, ketika ditemui pemberita kemudian menegaskan bahawa beliau tidak percaya sama sekali anaknya meninggal dunia disebabkan kejadian bunuh diri.

Malahan, suri rumah berkenaan percaya yang mendiang mati dibunuh individu tertentu ketika dalam siasatan SPRM berdasarkan kesan kecederaan dialaminya sebelum maut.

“Terus terang saya tidak boleh tidur lena selama 15 tahun kerana banyak fikir kejadian ini bahkan tidak percaya dan anggap mustahil dia sanggup terjun untuk bunuh diri,” katanya.

Beliau dan suaminya yang sanggup datang dari Alor Gajah, Melaka, menuntut agar kes kontroversi itu disiasat semula kerana ada banyak keraguan kerana disifatkan tidak telus.

Sebelum ke SPRM ujarnya mengimbau hari kejadian itu, mendiang sempat lagi ada sesi foto dengan bakal isteri, Soh Cher Wei dan turut merancang majlis jamuan perkahwinan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat segera menangkap pembunuh mendiang untuk dihukum agar roh Beng Hock kembali aman serta namanya dapat dibersihkan balik.

Sementara itu, Lee Lan berterima kasih kepada Perdana Menteri sudi menerima tuntutan keluarganya kerana banyak bukti menunjukkan ada kesan kecederaan sebelum kematian.

Ia juga selari penemuan pakar patologi terkenal dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand ketika inkues pada 2010 yang merumuskan kematian Beng Hock bukan kes bunuh diri.

Justeru, Perdana Menteri ujarnya, akan berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk menilai semula siasatan kepada unsur jenayah pembunuhan selaras dengan janji Anwar sendiri ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu untuk memastikan keadilan sewajarnya diterima waris Beng Hock.

“Proses ini juga dijamin tidak mengganggu semakan semula perundangan di mahkamah pada 29 Oktober depan kerana kes ini sebenarnya tidak pernah ditutup polis,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, keluarga mendiang tidak bersetuju pihak polis cuma menggunakan Seksyen 342 Kanun Keseksaan untuk menyiasat kembali kes berkenaan.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kematian mendiang bukan disebabkan unsur kurungan salah tetapi sewajarnya ialah kes bunuh di bawah Seksyen 302 kanun sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×