Lukisan bantu atlet pekak negara jana pendapatan sampingan

Lukisan bantu atlet pekak negara jana pendapatan sampingan

ZAIMAN Megat Abu menunjukkan antara lukisan potret yang dihasilkannya di Kampung Padang Telela, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Meskipun serba kekurangan, atlet pekak dan bisu, Zaiman Megat Abu, 23, yang pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas dalam acara lompat kijang pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik di Teheran, Iran tahun lalu juga mempunyai bakat luar biasa dalam bidang lukisan.

Malah, dengan hasil lukisan tersebut, anak bongsu daripada lima beradik dari Kampung Padang Telela yang hidup dalam serba kepayahan itu mampu menjana pendapatan selain terus fokus kepada bidang sukan.

Zaiman Megat mampu menghasilkan pelbagai karya indah seperti potret dan panorama selain dapat menyiapkan sesetengah lukisan tersebut hanya dalam tempoh singkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anak muda itu berkata, dia menyedari bakatnya itu sejak dari bangku sekolah lagi malah guru-gurunya juga sangat memberi sokongan dengan membantu membeli peralatan melukis bagi memudahkannya menghasilkan karya seni tersebut.

“Sewaktu sekolah saya lebih gemar menghasilkan gambar pemandangan dan lama kelamaan, saya mula berminat untuk mendalami teknik menghasilkan lukisan potret.

“Maka dari situlah saya mula jadikan melukis ini sebagai hobi bagi mengisi masa lapang selain mampu menjana pendapatan sampingan. Saya menghasilkan karya-karya lukisan ini pada waktu malam dan masa lapang memandangkan terikat dengan jadual latihan yang padat.

“Saya juga menerima tempahan daripada kenalan mahu pun saudara mara terdekat malah setiap karya lukisan itu dihasilkan mengikut permintaan. Mereka selalunya minta saya hasilkan lukisan potret dan bayaran yang dikenakan bermula dari serendah RM50 sehingga ada yang mencecah ribuan ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kepayahan hidup Zaiman yang menoreh getah pada sebelah pagi dan melakukan pelbagai bagi kerja berat lain menampung kehidupan keluarga yang serba kekurangan namun tidak menghalang anak muda itu bersinar di pentas antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negara.

Zaiman Megat meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik di Tehran, Iran tahun lalu malah merupakan prospek emas negara dalam Kejohanan Deaflympics Tokyo 2025 yang setaraf Olimpik dan Paralimpik.

Tambah Zaiman Megat, dia juga menerima jemputan menyertai aktiviti dan pameran melukis dianjurkan di beberapa lokasi sebelum ini.

Namun begitu, katanya, dia hanya menjadikan melukis sebagai hobi sampingan memandangkan fokus utamanya ketika ini adalah dalam bidang sukan.

“Pada minggu lalu juga, saya baru sahaja menyertai Kejohanan Olahraga Orang Pekak Dunia yang berlangsung di Taiwan dan meraih tempat keempat bagi acara lompat kijang.

“Disebabkan fokus mendalam terhadap bidang sukan maka saya hanya jadikan lukisan ini sebagai hobi selain dapat menjana pendapatan tambahan.

“Ahli keluarga sentiasa memberi sokongan penuh terhadap apa yang saya lakukan, sama ada sukan atau lukisan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini