PETALING JAYA: Isu prestasi Kerajaan Perpaduan yang didakwa merudum ekoran keputusan menarik semula subsidi diesel antara elemen yang bakal menghangatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Penganalisis Politik dan Pensyarah Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, pembangkang pasti menggunakan isu-isu tersebut bagi meraih sokongan.
“Isu yang akan dimainkan pasti melibatkan konsep Melayu-Islam, permasalahan Orang Asli dan pencapaian Kerajaan Perpaduan yang tidak memuaskan seperti penarikan subsidi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos ini. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 3 Ogos manakala undi awal dijadualkan pada 13 Ogos.
Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula 19 Jun lalu, selepas Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli DUN (ADUN) Bersatu, mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim hilang daripada parti itu.
Dalam pada itu, Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ariff Aizuddin Azlan meramalkan Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan tersendiri untuk memenangi kerusi DUN tersebut. – UTUSAN











