KLANG: DAP mengambil pendirian untuk turun membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sekiranya parti itu diperlukan seperti mana pernah dilakukan di Pelangai.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP sebelum ini juga menerima bantuan daripada BN khususnya UMNO pada PRK Kuala Kubu Baharu sehingga wakilnya Pang Sock Tao memenangi kawasan tersebut pada pilihan rayanya, Mei lalu.
“Kita punya pendirian mudah sahaja, kalau diperlukan kita pergi bantulah, kalau tak diperlukan kita tak perlu pergi.
“Kita memang ada dalam semangat perpaduan, kita diminta untuk bantu, seperti berlaku di PRK Pelangai, kita turun dan jaga satu dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan bekerja, meraih undi bagi pihak BN yang selama ini mereka kalah di kawasan-kawasan seperti kampung baru Cina dan sebagainya.
“Jadi, mana-mana PRK kalau kita diperlukan, kita turunlah. Kalau orang kata kita tak perlu turun, kita tak perlu turun,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, DAP diminta membatalkan niat untuk berkampung dan turun membantu kempen PRK Nenggiri kerana dibimbangi akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pengundi sekali gus memberi kelebihan kepada pembangkang.
Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya menghormati hasrat DAP yang mahu berkampung di kawasan Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi membantu kempen.
PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas penyandang Mohd. Azizi Abu Naim digugurkan keahlian daripada Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 3 dan 13 Ogos ini. – UTUSAN










