“JIKA tidak dikelilingi orang baik, mungkin saya hanyut.”
Demikian pengakuan pelakon, Zamarul Hisham, ketika bercerita pembabitan awalnya bergelar artis pada tahun 90-an.
Jejaka asal Kuala Lumpur ini tidak menyangkal, sebelum bergelar anak seni, dia menjadi dambaan para wanita kerana imejnya berambut panjang dan membonceng motosikal jenis RXZ.
Namun, bagi Zamarul, populariti yang dikecapinya menyelamatkan dia daripada bersikap buruk. Dia enggan namanya terpalit dengan kontroversi.
“Saya bersyukur, sejak jadi pelakon, saya berhenti buat jahat. Sebelum itu, saya memang nakal, seorang ‘player’. Tapi ‘player’ pun ada banyak jenis.
“Saya kategori yang ramai peminat. Waktu itu pula saya kerja sebagai pereka grafik dengan rambut panjang, ramailah gadis yang suka.
“Tapi apabila semakin ramai yang ajak bergambar, saya sedar nama saya sudah semakin dikenali. Jadi saya tidak boleh bertindak sembarangan sebab orang melihat tindak tanduk saya,” katanya.
Zamarul yang telah membintangi 120 naskhah sejak 1994 pernah dinasihati pelakon senior seperti Datuk Jalaluddin Hassan untuk selalu menyemak niat asal menjadi pelakon.
Perkara itu penting bagi mengelak Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-18 itu hanyut dan mengalami kejutan budaya.
“Saya ingat lagi, Jalaluddin pernah tanyakan niat sebenar saya menjadi pelakon, adakah untuk mencari rezeki atau sekadar mahu popular agar digilai ramai perempuan?
“Saya terfikir, jika saya tidak menjaga diri, saya memang akan hanyut dalam industri ini. Selain Jalaluddin, ada juga pelakon lain yang pernah berkongsi kebaikan zikir Alhamdulillah untuk mengelak daripada terkena kejutan budaya.
“Ucapan itu sebenarnya untuk menjaga kita daripada terkena penyakit ain (rasa takjub atau cemburu).
“Pesannya, kita kena ingat, pujian manusia yang melampau tidak selalunya berniat baik. Ucapan Alhamdulillah dan Masya-Allah menepis rasa bangga diri itu,” katanya yang ditemui sempena program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0, di Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.
Amalan rahsia jemput rezeki
Walaupun sudah menginjak usia 53 tahun, Zamarul menjadi antara pelakon senior yang berjaya mengekalkan pengaruhnya sehingga diberi kepercayaan membawakan watak utama di beberapa naskhah popular seperti drama Aku Yang Kau Sakiti, Saat Hilang Cintamu dan Aku Tanpa Cintamu.
Selain beristerikan pelakon, Diana Rafar, yang peka menjaga penampilannya agar selalu segak, Zamarul turut berkongsi rahsia dan amalannya sebelum berangkat ke lokasi penggambaran.
“Bagi saya ini semua rezeki Allah, saya sendiri tidak tahu kenapa masih mendapat watak hero pada usia begini. Cuma sebelum penggambaran, saya amalkan duduk dalam kereta dan berdoa.
“Saya minta betul-betul kepada Allah agar diampunkan dosa, beri saya kekuatan dan penghayatan membawakan sesuatu watak sehingga penonton suka. Ini kerana, tiada apa di dunia ini yang berlaku tanpa kudrat dan pertolongan daripada-Nya.
“Saya percaya Allah yang gerakkan semuanya. Niat saya memang semata-mata mencari rezeki. Itulah yang saya lakukan sejak awal dahulu bergelar pelakon,” jelasnya.










