Perkhidmatan rel Lembah Klang masih rendah

Perkhidmatan rel Lembah Klang masih rendah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap jaringan pengangkutan awam rel di Lembah Klang pada masa kini baru mencapai kira-kira 65 peratus, sekali gus menyumbang terhadap kesesakan lalu lintas.

Jumlah itu masih dianggap ketinggalan berbanding negara maju lain yang kini sudah mencapai 80 peratus khususnya di bandar utama yang dapat mengurangkan kebergantungan rakyat kepada penggunaan kenderaan persendirian di jalan raya.

Pakar jalan raya dari Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Madya Dr. Ng Choy Peng berkata, sistem jaringan pengangkutan awam rel di kawasan utama seperti Lembah Klang harus dipertingkatkan kepada 85 peratus dalam jangka masa 10 tahun ke depan dengan memberi tumpuan kepada kawasan berkepadatan tinggi.

Menurutnya, akses tidak menyeluruh perkhidmatan pengangkutan rel di ibu negara antara punca pengangkutan awam tersebut bukan menjadi pilihan utama pengguna pada masa ini.

Sebaliknya, beliau berkata, orang ramai lebih memilih untuk memandu sendiri khususnya ke tempat kerja walaupun terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas yang pada akhirnya mendatangkan kerugian kepada mereka terutamanya akibat penggunaan bahan api yang tinggi.

“Sekiranya fokus pembangunan negara diutamakan kepada jaringan pengangkutan awam rel di negara, sudah pasti Malaysia akan mendapat faedahnya seperti kesan langsung iaitu menyelesaikan dan menangani isu kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu puncak.

“Ia juga akan memberi kesan lain iaitu meningkatkan kecekapan dari segi logistik untuk menghantaran komoditi menggunakan infrastruktur jalan sedia ada dan juga akan berlaku peningkatan pada industri pelancongan negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Antara kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi yang perlu diberi perhatian adalah utara Lembah Klang iaitu Wangsa Maju, Sentul, Kepong, Bandar Sri Damansara dan Kota Damansara; barat (Mont Kiara, Petaling Jaya, Puchong); timur (Melawati, Setapak, Ampang Jaya dan Cheras) dan selatan (Cheras, Balakong, Serdang, Puchong dan Bandar Sunway).

Choy Peng yang juga pakar lebuh raya berkata, selain pengangkutan awam rel, kerajaan juga perlu memberi fokus untuk meningkatkan sekurang-kurangnya 25 peratus jaringan bas, 10 peratus teksi dan e-hailing dalam jangka masa sama selaras dengan peningkatan kepadatan penduduk di negara.

“Perkhidmatan pengangkutan bas juga perlu ditambah baik, contohnya jaringan perkhidmatan perlu meliputi lebih banyak kawasan kediaman sekitar luar bandar yang bergerak menuju ke bandar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Prof. Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, walaupun ada kenaikan harga bahan api namun orang ramai masih bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian kerana sistem pengangkutan awam di negara masih tidak menyeluruh.

Katanya, sistem pengangkutan rel dan bas perantara hanya terhad di kawasan tertentu sehingga menyukarkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Bagi saya, peningkatan harga minyak hanya memberi kesan minimum untuk mendorong orang ramai menggunakan pengangkutan awam kerana faktor lain seperti harga kenderaan dan kadar parkir yang murah, kuantiti lot parkir banyak, memberi kelebihan kepada penggunaan kenderaan persendirian.

“Kecuali jika kerajaan melaksanakan inisiatif lain seperti meningkatkan kadar parkir, mengurangkan lot tempat letak kereta di bandar dan mengenakan caj kesesakan seperti dilaksanakan Singapura ia akan mengubah minat orang ramai untuk beralih kepada pengangkutan awam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa kini terdapat trend positif membabitkan pembinaan kawasan perumahan apabila pemaju lebih cenderung membina perumahan baharu di kawasan berhampiran pengangkutan awam sebagai nilai tambah komersial terhadap kediaman dibinanya.

“Pada masa sama, orang ramai juga cenderung memilih membeli kediaman yang berada dalam lingkungan kemudahan tersebut khususnya pengangkutan rel. Jika ia berterusan maka tidak mustahil ia akan menjadi pilihan utama untuk bergerak keluar bekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×