Siam, Melayu hampir sama - Utusan Malaysia

Siam, Melayu hampir sama

Anak-anak masyarakat Siam yang mengikuti pelajaran bahasa Siam selepas tamat sesi persekolahan di Kampung Padang Ceria, Kangar, Perlis. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tak jauh beza dengan orang Melayu menjadi antara gambaran kehidupan masyarakat Siam di Perlis. Ia sekali gus memperlihatkan bagaimana hubungan antara etnik tersebut dengan penduduk Islam cukup erat dan harmoni.

Kadangkala, kita sendiri tidak tahu sama ada seorang itu Melayu atau Siam jika mereka tidak bertutur dalam bahasa Siam.

Ini kerana masyarakat Siam fasih berbahasa Melayu mengikut loghat negeri masing-masing khususnya Perlis. Perbezaan antara Siam dan Melayu hanyalah dari segi agama, kepercayaan serta budaya.

Di Perlis, jumlah penduduk Siam dianggarkan sekitar 6,000 orang melibatkan lebih 10 kampung di negeri ini.

Antara kampung tersebut ialah Kampung Alor Banat, Tengah Siam, Padang Petani, Padang Ceria, Guar Nangka dan Behor Gelam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Yayasan Siam Perlis, Datuk Siw Chun Eam berkata, penempatan masyarakat Siam di Perlis wujud sejak sekian lama dan kehidupan mereka di sini cukup harmoni.

SIW CHUN EAM

Menurut beliau, masyarakat Siam lebih kurang sama dengan Melayu berikutan pergaulan erat sesama mereka sama ada di bandar atau kampung.

Katanya, kehidupan etnik Siam di Perlis tidak jauh beza dengan etnik itu di negeri-negeri lain khususnya di Kelantan cuma dari segi loghat bahasa ada perbezaan.

“Kehidupan kami, paras rupa, pemakanan dan sebagainya lebih kurang Melayu sahaja. Kadangkala orang ingat kami Melayu sekiranya tidak diberitahu. Saya lihat, yang membezakan cuma agama, budaya dan kepercayaan sahaja dengan masing-masing saling menghormati.

“Malah, beberapa perayaan seperti Songkran juga kadang-kadang disertai orang Melayu. Kebanyakan penduduk banyak bekerja sebagai petani khususnya generasi lama. Yang muda-muda ini, banyak yang kerja kerajaan dan pelbagai sektor lain,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Padang Ceria, Ean Ching Bon Cham, 62, berkata, boleh dikatakan masyarakat Siam fasih berbahasa Melayu khususnya dalam loghat negeri ini.

Seperti rakan-rakan Melayu lain, dia gemar makanan seperti asam pedas, nasi lemak, sambal belacan beserta ulam-ulam sebagai hidangan harian.

“Kehidupan kami bersama kaum-kaum lain khususnya masyarakat Melayu cukup harmoni seperti saudara sendiri.

“Dari kecil kami berkawan, bergaul dengan orang Melayu. Kami sangat rapat. Malah, daripada segi pakaian juga lebih kurang orang Melayu,” kata warga emas itu.

‘SEKOLAH’ KHAS BUAT KELAS AJAR BAHASA IBUNDA

Menjadi rutin bagi kanak-kanak khususnya yang berusia tujuh hingga 12 tahun pergi ke ‘sekolah’ setiap petang bagi mengikuti pengajaran bahasa Siam di wat atau dewan orang ramai di kawasan masing-masing di Perlis.

Menariknya, kanak-kanak tersebut turut memakai uniform sekolah sendiri iaitu baju putih dan kain berwarna merah bagi wanita serta pakaian putih dan seluar coklat bagi lelaki selain menggunakan buku teks sendiri berkaitan bahasa tersebut.

Seorang penduduk dari Kampung Padang Petani, Chian a/p Endin Kam, 66, berkata, kelas berkenaan diadakan setiap hari sekitar pukul 3 petang hingga 5 petang.

CHIAN A/P ENDIN KAM

Katanya, selepas pulang sekolah harian biasa, kanak-kanak tersebut akan meluangkan masa mengikuti kelas bahasa ibunda mereka.

Jelasnya, mereka dibimbing seorang sami yang mengajar bahasa, tulisan dan berkaitan agama iaitu Buddha.

“Tok sami akan mengajar bahasa Siam, menulis dan sebagainya kerana di sekolah biasa tidak ada bahasa Siam. Didikan awal berkaitan bahasa dan tulisan penting untuk kanak-kanak tersebut agar mereka boleh menguasai bahasa berkenaan.

“Mereka (kanak-kanak) belajar secara percuma dengan dana untuk tujuan tersebut sumbangan orang ramai (masyarakat Siam). Sekolah seperti ini sudah wujud sejak sekian lama,” katanya.

Kata Chian lagi, setiap kelas pembelajaran itu biasanya disertai kira-kira 60 pelajar, namun dalam tempoh pandemik Covid-19, jumlah kanak-kanak bagi setiap kelas terpaksa dihadkan.

“Di Perlis ini, kita ada lebih kurang enam ‘sekolah’ seperti ini sama ada di wat atau dewan orang ramai,” katanya.

Difahamkan, pada Februari 2013, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mencadangkan untuk subjek bahasa Siam diperkenalkan semula di sekolah kebangsaan (SK) dalam usaha memartabatkan bahasa tersebut dalam kalangan murid berketurunan Siam dan memberi peluang kepada murid lain mempelajarinya sebagai subjek tambahan.

 

Sami Buddha mengajar pelajaran bahasa Siam kepada murid-murid selepas tamat sesi persekolahan di Kampung Padang Ceria, Kangar, Perlis.

ADA LOGHAT BERBEZA

“Kadangkala kami pun tidak faham loghat Siam Kelantan yang berbeza dengan loghat Siam Perlis,” demikian kongsi Anuson a/l Dinkam, 65, yang memaklumkan bahawa Siam juga mempunyai loghat sendiri mengikut negeri.

Warga emas dari Kampung Padang Petani itu berkata, meskipun sesuatu perkataan dalam bahasa Siam itu sama namun sebutan mengikut loghat setiap negeri berbeza.

Anuson memberitahu, dari segi budaya dan kehidupan masyarakat Siam di Perlis dan negeri-negeri lain boleh dikatakan sama.

“Selalunya kita dengar mengenai loghat bahasa Melayu sahaja yang berbeza mengikut negeri tapi sebenarnya loghat Siam juga berbeza mengikut negeri.

“Kadangkala saya pun tidak faham loghat Siam Kelantan meskipun perkataan yang disebut itu membawa maksud sama,” katanya.

Sementara itu, Anuson berkata, kehidupan masyarakat Siam di Perlis cukup baik malah tidak ada dalam kalangan etnik tersebut yang hidup terlalu susah.

Dalam masa sama, dia juga berharap kerajaan negeri menyediakan kemudahan atau tempat membakar mayat bagi masyarakat Siam di negeri ini.

“Kemudahan itu penting buat masa depan kerana tempat sedia ada sudah terlalu lama. Dari segi itu, saya berharap kerajaan boleh mempertimbangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×