PETALING JAYA: Tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) membantah hukuman gantung sampai mati terhadap enam pesalah yang membunuh Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain mengundang kemarahan warga maya sehingga Facebook milik agensi itu dibanjiri kecaman.
Warga maya meluahkan kecewa dan marah terhadap suruhanjaya itu sehinggakan ada yang mencadangkan supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menutup SUHAKAM.
Seorang pengguna Facebook, Haziq Zikri Mohd. Noor berkata, “SUHAKAM sepatutnya dimansuhkan. Membazir duit pembayar cukai,” katanya kerana membantah keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes tersebut.
Muhammad Al-Husaini pula meninggalkan komen berbahasa Inggeris yang bermaksud hak asasi yang keterlaluan akan memberikan hak yang lebih kepada penjenayah berbanding mangsa.
“Belas kasihan kepada pesalah adalah kekejaman kepada yang tidak berdosa. Ini bukan tentang memulihkan pesalah tetapi untuk menyampaikan mesej yang kuat kepada orang lain,” katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Sumaiyah Suhaimi meninggalkan komen bernada sinis kepada SUHAKAM.
“Saya sokong kenyataan SUHAKAM, memang tidak adil kalau mereka kena hukuman gantung kerana mereka tidak rasa terseksa seperti dilalui arwah.
“Sepatutnya mereka mendapat balasan sama seperti arwah, dibelasah kemudian beri 90 tekapan seterika wap pada badan masing-masing.
“Biarkan seminggu baru pergi hantar ke hospital. Ini adil di kaca mata SUHAKAM kan?,” katanya sinis.
Sehingga pukul 6 petang semalam, kenyataan yang dikeluarkan di Facebook SUHAKAM menerima lebih 2,300 komen kecaman, 1,800 tanda marah dan diulang siar sebanyak 472 kali.
Kelmarin, SUHAKAM menerusi laman sosial Facebook miliknya mengeluarkan kenyataan membantah keputusan oleh Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berhubung kesalahan membunuh Zulfarhan, tujuh tahun lalu.
Dalam satu kenyataan SUHAKAM berkata, meskipun bersama keluarga mangsa dalam memahami kesedihan dan mengakui seriusnya jenayah tersebut, suruhanjaya tersebut berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.
“Atas dasar tersebut, SUHAKAM meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan SUHAKAM susulan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang memutuskan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM yang sebelum ini dipenjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Zulfarhan Osman.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dalam rayuan silang untuk mengembalikan semula kes itu daripada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kepada pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN









