PETALING JAYA: Menaikkan cukai dalam semua jenis minuman bergula termasuk teh tarik di kedai mamak dan minuman 3 dalam 1 adalah antara langkah terbaik untuk mengawal pengambilan gula berlebihan dalam kalangan rakyat.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, walaupun langkah itu ‘radikal’ dan akan menyebabkan rakyat marah, tetapi itu antara cara terbaik yang boleh dilakukan masa ini.
Menurut beliau, cukai sebanyak 40 sen seliter ke atas minuman yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter dan jus yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter yang dikenakan Malaysia ketika ini masih rendah.
RISIKO
“Dijangka kenaikan harga akibat cukai akan menurunkan penggunaan gula sebanyak hampir 10 peratus dan ini sudah tentu terbaik mengurangkan risiko penyakit terutama kencing manis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, selepas mengenakan cukai dalam minuman bergula, kerajaan disaran mengkaji untuk mengenakan cukai dalam semua kuih atau masakan bergula yang digemari rakyat.
Kata Sharifa, tindakan agresif perlu memandangkan dilaporkan 5,000 hingga 10,000 pesakit kencing manis baharu setiap tahun dan perlu menjalani dialisis.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan rakyat dewasa Malaysia mengambil gula 26 sudu sehari berbanding enam sudu seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu lebihan sehingga 80 peratus pengambilan bahan itu.
Berdasarkan data platform World Population Review, Malaysia menduduki tempat ke-14 negara tertinggi dunia dalam pengambilan gula iaitu sebanyak 41.63 kilogram (kg) per kapita dalam setahun atau bersamaan 8,326 sudu teh gula.
Negara tertinggi mengambil gula ialah Barbados, Guatemala, Cuba, Belgium dan Kiribati.
DEWASA
Angka itu membuktikan penggunaan gula adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga mendorong satu daripada enam orang dewasa atau 15.6 peratus daripada populasi dewasa di negara ini didiagnosis sebagai pengidap diabetes seperti laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, sikap masyarakat Malaysia itu sendiri memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi kesihatan.
Menurut beliau, masyarakat digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan berhenti merokok.
“Merokok merupakan salah satu punca utama sakit jantung, kanser, kencing manis dan darah tinggi, jadi amalan merokok ini juga perlu dihentikan segera,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, belum ada cadangan untuk menaikkan lagi cukai gula. – UTUSAN










