BUTTERWORTH: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memohon kerajaan supaya menghentikan pemberian permit import (AP) untuk gula kepada mana-mana syarikat pengeluar bahan komoditi itu dari luar negara.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hal ini demikian kerana, pengeluaran gula tempatan ketika ini telah pun melebihi keperluan untuk pasaran domestik.
Katanya, tiada keperluan memberi AP kepada pengeluar gula dari luar, sebaliknya, mencadangkan kerajaan mengenakan cukai atau tarif ke atas mana-mana pihak yang mahu membawa masuk gula ke pasaran tempatan.
“Bagi saya, tidak perlu lagi mengimport gula kerana isu ini bukan soal berapa cukai dikenakan, tetapi, kerana pengeluaran dalam negara sudah melebihi keperluan. Kerajaan juga menetapkan harga kawalan (gula) pada kadar RM2.85 sekilogram iaitu antara yang termurah di rantau ini supaya pengguna tidak terbeban.
“Sebagai perbandingan, harga gula di Vietnam kini melebihi RM7, Filipina lebih RM8 manakala Thailand dan Indonesia pula lebih RM5 sekilogram. Jadi, mengapa kita perlu benarkan lagi kemasukan gula import,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang penapisan gula milik MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) di Perai di sini, hari ini.
Ujar beliau, setiap tahun, kira-kira 60,000 hingga 70,000 metrik tan gula diimport dan dijual pada harga sama seperti di Malaysia.
“Hairannya, mereka (pihak luar) tidak boleh menjual gula dengan harga yang lebih murah di negara asal sekali gus menunjukkan wujudnya unsur ‘dumping’ (pembuangan) di pasaran.
“Sebab itulah Vietnam mengenakan cukai antipembuangan dan antisubsidi sehingga 40 peratus untuk melindungi industri tempatan mereka. Amerika Syarikat (AS) juga melakukan perkara sama dan Malaysia wajar mempertimbangkan tarif atau cukai seperti itu juga,” katanya. – UTUSAN










