JERANTUT: Seorang bapa dan anak lelaki berusia enam tahun maut setelah motosikal dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 18, Jalan Jerantut-Temerloh berdekatan Simpang Bukit Ketupat di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian pukul 8.20 malam itu, penunggang motosikal, Muhamad Isyam Abdullah Sani, 43, yang bekerja sebagai tukang rumah dan anaknya, Muhammad Aisy Afnan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Turut membonceng motosikal, isteri mangsa, Munirah Mahmood, 28, dan seorang anak lelaki, Muhammad Umar Affan berusia empat tahun. Kedua-duanya hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kemalangan berlaku ketika motosikal jenis Ego Avantiz ditunggang Muhamad Isyam dan dibonceng isteri serta dua anak dalam perjalanan dari rumah ibu mentuanya menghala balik ke rumah sewa mereka di Taman Bukit Ketupat.
“Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira 500 meter dengan rumah mangsa, motosikal berkenaan gagal dikawal dengan baik lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang lampu jalan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Zukri, siasatan awal, punca kemalangan berikutan motosikal yang dipandu Muhamad Isyam gagal dikawal dengan baik lalu terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu jalan.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










