KUALA LUMPUR: Hasil negara akan berkurangan manakala hutang bertambah sekiranya kerajaan tidak melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan justeru telah melakukan pelbagai langkah termasuk mengurangkan pembaziran dan melaksanakan perbelanjaan berhemah.
Namun beliau menjelaskan, buat masa ini belum ada kata putus mengenai penyasaran subsidi RON95 kerana kerajaan sedang memfokuskan rasionalisasi diesel terlebih dahulu.
“Belum ada lagi, tiada bangkit (pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95), belum ada deal (perbincangan). Perlu beri kefahaman, kalau ada masalah tentang diesel perlu beritahu.
“Kalau tidak buat (penyasaran subsidi RON95), hasil tidak bertambah, (maka) berhutang bertambah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Beliau ditanya terhadap usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar hutang dan keadaan fiskal negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menambah hasil negara antaranya mengurangkan pembaziran dan melakukan pinjaman apabila diperlukan.
Ditanya langkah untuk meningkatkan hasil kerajaan, Anwar berkata, beliau mahu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tegas terhadap mana-mana pihak yang enggan bayar cukai.
“Itu terserah (langkah tingkat hasil cukai) kepada LHDN, cuma saya nak siapa kena bayar, kena bayar.
“Kaya atau jutawan saya tidak peduli, mesti ada usaha tegas untuk pastikan dalam kalangan wajib harus bayar, tiada kebocoran,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar dalam ucapan perasmian memaklumkan, kerajaan komited mengurangkan pinjaman bersih atau hutang baharu sebagai langkah jangka pendek meningkatkan keupayaan kewangan negara.
Beliau berkata, pada 2021 dan 2022, negara berhutang sebanyak RM100 bilion sebelum dikurangkan secara berperingkat pada 2023 pada RM93 bilion dan 2024 dikurangkan lagi kepada RM86 bilion.
“Daripada RM100 bilion pada pentadbiran lalu, kita kurangkan kepada RM86 bilion, tetapi ini tidak boleh dikurangkan secara mendadak kerana kita masih memerlukan agenda pembangunan,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan juga menyasarkan pengurangan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus.
Katanya, kadar hutang telah melebihi tahap ditetapkan sekali gus menuntut kerajaan mengurangkan fiskal, namun tanpa membebankan rakyat.
Menteri Kewangan itu berkata, negara kini dibelenggu hutang sekali gus menyebabkan kerajaan pada setiap tahun perlu melunaskannya. – UTUSAN










