PETALING JAYA: Kerajaan akan meneliti penambahbaikan dan cadangan untuk meningkatkan kuota subsidi bahan api kepada nelayan.
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memahami kebimbangan dan cabaran disuarakan oleh nelayan berhubung isu kuota subsidi bahan api khususnya had 50 liter sehari bagi vesel Zon A.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2006, skim subsidi diesel dan petrol nelayan bertujuan membantu meringankan sebahagian kos operasi penangkapan ikan dan bukannya menanggung keseluruhan kos operasi.
“Dalam masa yang sama, penetapan kuota turut mengambil kira aspek kawalan, ketelusan serta kedudukan kewangan Kerajaan agar bantuan dapat disalurkan secara mampan dan berkesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kuota subsidi bahan api sebanyak 50 liter sehari yang diperuntukkan kepada nelayan Zon A tidak lagi relevan dengan keperluan operasi semasa, khususnya nelayan yang menggunakan pukat kembong dan rawai di seluruh negara.
Golongan nelayan mendakwa, kuota sedia ada tidak mengambil kira perubahan teknologi bot serta penggunaan enjin yang jauh lebih berkuasa, sekali gus menyebabkan kos operasi harian meningkat dan menekan pendapatan mereka.
LKIM berkata, kerajaan mengambil maklum perkembangan semasa dalam industri termasuk perubahan teknologi vesel dan peningkatan penggunaan kuasa enjin yang memberi kesan kepada penggunaan bahan api.
Oleh itu, katanya, sebarang cadangan penambahbaikan terhadap kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan nelayan serta keupayaan kewangan negara.
“Pada masa yang sama, nelayan dan rakyat turut diseru untuk memahami cabaran dunia kini berdepan krisis tenaga global yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan kos operasi.
“Bagaimanapun kerajaan kekal komited untuk mencari keseimbangan terbaik antara membantu nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN










