KEMAMAN: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang wanita yang didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak perempuannya berusia lima tahun lapan bulan, pada 13 Julai lalu, menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Perintah itu dibuat Hakim Wan Suhaila Mohd terhadap tertuduh, Norulhuda Sufia Muda, 26, selepas mendapat permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali selepas menilai keadaan tertuduh ketika prosiding.
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu, tertuduh membuat pengakuan bersalah sebanyak dua kali ketika pertuduhan dibacakan, namun pengakuan itu tidak direkodkan dan prosiding juga ditangguhkan sebanyak dua kali selepas tertuduh dilihat tidak memahami pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun lapan bulan telah melakukan penganiayaan dengan menyebabkaan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut dan kepala, mengangkat badannya serta menghayunkan badannya keluar daripada tingkap hingga ke atas tanah.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 13 Julai lalu, di kediamannya di Kampung Air Jabur Kubur, Chukai.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksima RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Wan Suhaila mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Tanjung Rambutan, Perak dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Akmal Wahidah Abd Halim.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan wanita itu bersama suaminya yang berusia 36 tahun ditahan polis pada 13 Julai lalu selepas disyaki mendera anak perempuan dan lelakinya yang berusia enam dan tujuh tahun. – UTUSAN










