Russia abai gencatan senjata diumumkan Trump - Utusan Malaysia

Russia abai gencatan senjata diumumkan Trump

Gambar PENDUDUK berlindung di sebuah stesen tren bawah tanah ketika serangan terhadap kemudahan tenaga di Kyiv. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Russia seolah-olah mengabaikan amaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, apabila melancarkan serangan terhadap beberapa loji janakuasa di Ukraine hanya beberapa jam selepas pengumuman gencatan senjata tenaga antara kedua-dua negara.

Serangan itu berlaku meskipun Trump menegaskan Russia dan Ukraine sudah bersetuju menghentikan serangan terhadap infrastruktur tenaga ma­sing-masing serta memberi amaran supaya persetujuan itu tidak dilanggar.

Sebuah loji janakuasa di Kyiv diserang dron sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di ibu negara Ukraine itu, manakala infrastruktur tenaga di Kharkiv turut menjadi sasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdahulu, Trump mengumumkan menerusi platform Truth Social bahawa gencatan senjata tenaga antara Russia dan Ukraine berkuat kuasa serta-merta.

“Berkuat kuasa serta-merta, gencatan senjata tenaga dilaksanakan dalam perang antara Russia dan Ukraine. Kedua-dua pihak bersetuju. Jangan me­langgarnya!” tulis Trump tanpa memberikan butiran lanjut.

Ketika itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, beliau tidak dimaklumkan me­ngenai gencatan senjata tenaga berkenaan.

“Berita itu juga baharu bagi saya. Namun, jika Russia bersetuju dengan gencatan senjata tenaga, Ukraine juga akan bersetuju,” katanya kepada Axios.

Sekutu Kyiv pula berkata, mereka sedang menunggu butiran lanjut mengenai gencatan senjata yang melibatkan sasaran tenaga, seperti diumumkan Trump. 

“Ukraine menyokong gencatan senjata itu dan penting untuk Russia turut menyokongnya. Kami sedang menunggu butiran daripada pihak Amerika. 

“Ukraine sentiasa menyo­kong sepenuhnya usaha mere­dakan ketegangan, melindungi nyawa dan keputusan yang diperlukan untuk menamatkan perang serta menjamin keamanan berkekalan,” kata Zelensky menerusi laman Facebook­nya sebelum serangan Russia terhadap loji janakuasa Ukraine.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pula menyatakan sokongan terhadap pelaksa­naan gencatan senjata tenaga yang sebenar antara Ukraine dan Russia, ketika harga diesel mencecah 2.25 euro (RM10.29) seliter.

Russia belum mengesahkan sebarang persetujuan berhubung gencatan senjata itu ketika perang menyaksikan pe­ningkatan serangan maut. –  AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini