BAITULMUQADDIS: Kementerian Hal Ehwal Diaspora Israel membiayai berjuta-juta pound untuk kempen maklumat palsu, yang menyebarkan kebencian terhadap umat Islam.
Pendedahan itu dibuat oleh Al Jazeera, mengenai kempen yang menyasarkan penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) dan menyebarkan kandungan Islamofobia.
Kempen itu bermula sejak 7 Oktober, tahun lalu dan menimbulkan kebimbangan serius mengenai operasi pengaruh asing serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam menyebarkan maklumat salah.
Sebuah syarikat pemasaran yang berpangkalan di Tel Aviv, Stoic, dilaporkan menerima AS$2 juta (RM9.3 juta) daripada kementerian Israel untuk menjalankan kempen tersebut.
Operasi itu menggunakan AI untuk menghasilkan sejumlah besar kandungan dalam talian yang mengelirukan, menandakan era baharu dalam kemudahan dan skala kempen berpengaruh.
Kewujudan kempen itu terbongkar pada awal tahun ini apabila penyelidik mula menyedari corak mencurigakan di pelbagai platform media sosial.
Berpuluh-puluh akaun palsu dikenal pasti menyebarkan kandungan pro-Israel, yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan tindakan Israel di Gaza.
Akaun-akaun ini kebanyakannya dikaitkan dengan tiga laman web, iaitu ‘Moral Alliance’, ‘Unfold Magazine’ dan ‘Non-Agenda’.
Secara kolektif, semua laman web ini mengumpul lebih 40,000 pengikut di Facebook, Instagram dan platform X.
Kempen tersebut melibatkan penerbitan artikel pro-Israel, yang sering ditarik balik daripada saluran berita yang sah, dan kemudian dikongsi melalui ratusan akaun media sosial palsu.
Antara artikel tersebut ialah laporan dakwaan penglibatan kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dalam serangan 7 Oktober.
Penyelidik menyatakan kandungan tersebut kerap diulang secara verbatim di beberapa akaun, menyasarkan individu yang sama dengan hantaran dan balasan yang serupa.
Bukan sekadar mempromosikan naratif pro-Israel, kempen ini juga dikatakan secara aktif menghasilkan dan menyebarkan kandungan Islamofobia dan cubaan menggerakkan sentimen anti-Islam.
Strategi kempen itu dilihat pelbagai rupa, bukan sahaja tidak menggalakkan sokongan kepada rakyat Palestin tetapi cuba mencipta perpecahan antara komuniti di AS dan penyokong pro-Palestin.









