Wan Ahmad Fayhsal digantung 6 bulan

Wan Ahmad Fayhsal digantung 6 bulan

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal digantung enam bulan bermula hari ini.

Usul tersebut lulus setelah undian belah bahagian dibuat di mana kerajaan memperoleh 110 undi, sementara pembangkang memperoleh 63 undi.

Seramai 46 ahli parlimen yang tidak hadir, sementara tiga ahli parlimen lagi tidak mengundi.

Usul undi belah bahagian itu dibuat Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Pembangkang kemudiannya membaca doa Qunut Nazilah di dalam Dewan rakyat yang diketuai Zulkifli Ismail (PN-Jasin) sebagai tanda golongan yang teraniaya meminta pertolongan daripada Allah dalam menghadapi kesulitan yang dihadapi.

Terdahulu, usul tersebut dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat.

Menurut usul tersebut, tindakan itu dibuat berhubung kenyataan Wan Ahmad Fayshal pada 1 Julai lalu telah memaklumkan kepada Dewan Rakyat berhubung sepucuk surat layang yang telah tular dan didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketika usul tersebut dibuka untuk dibahaskan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, meskipun ia surat layang, namun mengapa perkara itu tidak disiasat oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menggantung Ahli Parlimen Machang.

“Jangan disebabkan hari ini berdendam dengan Machang kerana sering membawa isu menjualan MAHB, sehinggakan kerana itu, kita ambil tindakan kepada Ahli Parlimen Machang,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan Ahli Parlimen Machang itu tidak melanggari mana-mana peraturan di bawah Perkara 36 (9) dan 36 (10) di mana surat layang tersebut tidakpun mengucapkan sebarang perkataan derhaka kepada negeri, melawan kuasa kerajaan atau bermusuhan antara kaum.

“Tan Sri Yang Dipertua di bawah Peraturan 36 (11), Tuan Yang Dipertua berkuasa menolak usul dan memerintahkan agar ia tidak dibahaskan lagi. Maka sebab itu, saya merayu agar usul menteri itu ditolak,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang berada di barisan kerajaan juga menyifatkan tindakan tersebut zalim kerana bertentangan dengan Artikel 62 dan mempertikai haknya sebagai ahli parlimen yang dipilih rakyat.

“Orang yang dituduh perlu menjawab. Apa masalahnya? Keputusan yang tidak beri hak kepada dia (Wan Ahmad Fayhsal) itu zalim,” ujarnya.

Azalina kemudiannya menjelaskan, permohonan usul itu sememangnya dibenarkan dan jika hujah tersebut menggunakan dokumen yang sahih, kerajaan tiada masalah dengan perkara tersebut.

“Kita adalah ahli parlimen yang bertanggungjawab, kalau kita rujuk kepada dokumen yang sahih, saya yakin kerajaan tidak ada masalah, salah tetap salah. Isunya adalah kita di sini perlu buat undang-undang, bukan kita tuduh ikut surat layang yang orang hantar. Kita akan membuka budaya yang buruk bagi ahli parlimen di peringkat kerajaan dan pembangkang.

“Saya simpati, tetapi saya tengok dalam perbahasan..ibarat macam parlimen yang endorsekan Siapa yang bela pegawai kerajaan di luar itu? Hanya kerana kita Yang Berhormat, jangan berkelakuan melebih undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×