KURANG dua minggu lagi kita akan menghantar kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris yang penuh kontroversi. Penganjur pasti sedang pening kepala memikirkan ugutan, desakan daripada pejuang alam sekitar juga kempen berak beramai-ramai di Seine River sebagai tanda protes yang hangat diperkatakan.
Malaysia kekal tenang menyiapkan pasukan walaupun baju yang bakal disarung atlet berdepan kritikan. Maklumlah, tidak semua menteri dan orang atasan peduli dan ada ‘taste’ dalam penampilan. Eloklah kita ada pengarah seperti Adrian Teh yang berani cuit-cuit sedikit perangai sebegini di dalam filem terbaharunya, Gold.
Adrian keluar daripada kebiasaan filem aksi beruniform kepada naskhah berlatar sukan. Hero yang diangkat pula Cheah Liek Hou, nama yang sangat asing untuk didengar orang kebiasaan yang mungkin hanya menonton Olimpik di restoran mamak setiap empat tahun. Itu pun kerana diajak kawan-kawan.

Liek Hou adalah wira yang tidak didendang. Atlet pertama yang membawa emas untuk Malaysia kategori badminton di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Adrian tidak hanya mahu mengangkat perjuangan Liek Hou dan gurunya, Rashid Sidek. Namun paling penting menyindir pihak tertentu yang mahukan kemenangan tetapi atletnya tidak cukup menampung kehidupan.
Gold menghimpunkan dua takdir iaitu Liek Hou dan Rashid Sidek dalam satu titik temu. Semestinya ada banyak momen yang perlu dipertimbangkan Adrian dan penulis lakon layarnya, Tan Pik Yee yang berpengalaman menghasilkan Ola Bola.
Filem ini mempunyai satu adegan yang kuat. Bukan ketika bertanding, menang piala Olimpik atau disahkan sakit. Tapi di setiap momen Liek Hou bersama ayahnya yang dilakonkan Freddie
Ng. Paling luluh ketika Lieh Hou lakonan Jack Tan menangis di bilik air mengenang ayahnya. Freddie ada karisma yang saya fikir tiada pelakon lain boleh menghidup karakter ‘ayah’ sebaiknya.

Rashid, Liek Hou bertemu
Rashid adalah pengganti yang mengisi kehilangan sosok ayah dalam diri Liek Hou. Malangnya, Adrian tidak menggali lebih banyak momen menyentuh dan menjentik antara dua sosok ini di skrin. Dialog yang diucapkan sebelum bertanding pula agak aneh (baca: cringe) dan terlalu berceramah.
Bukan itu sahaja, kerana ini adalah filem sukan Olimpik, saya kurang merasai standard adegan pertandingan yang dipaparkan menciptakan ketegangan. Mungkin kerana kekangan bajet menyebabkan latihan tidak kerap diadakan.
Apa lagi klip asal pertandingan dimasukkan di hujung filem menunjukkan momentum berlainan berbanding apa ditunjukkan Jack Tan dalam persembahan lakonannya. Jika pihak produksi boleh melakukan aksi koreografi atau suntingan yang mencetuskan debaran, ia akan lebih menjadi.
Selain itu, saya berasa sedikit janggal kerana Adrian menggunakan teknik breaking the fourth wall yang menurut saya kurang menjadi kerana tiada penonton yang ketawa.
Walau kurang memberi rasa di adegan akhir, saya tetap merasakan Gold adalah sebuah filem yang penting dan berani. Semua wajib menontonnya setidaknya pak menteri.










