Kenakan hukuman lebih berat kepada pembuli siber

Kenakan hukuman lebih berat kepada pembuli siber

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembuli siber seharusnya dikenakan tindakan di bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan yang membolehkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai seriusnya salah laku itu.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, seksyen tersebut yang melibatkan perbuatan mendorong kanak-kanak, orang tidak waras atau tidak upaya membunuh diri wajar dikenakan terhadap pembuli.

Katanya, seksyen tersebut merupakan tambahan kepada kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia agar bentuk hukuman menjadi lebih berkesan dan menggerunkan pelaku.

“Malah, hukuman juga boleh dikenakan di bawah Seksyen 306 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara 10 tahun.

“Pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap laporan dibuat oleh mangsa-mangsa buli supaya isu bunuh diri tidak menjadi kebiasaan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kejadian buli siber yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut disuarakan oleh Anwar menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam.

Sehubungan itu, Mohamed Azam berkata, mangsa-mangsa pembuli siber dinasihatkan segera membuat laporan polis supaya tindakan tegas dapat diambil sebelum kejadian membunuh diri berlaku akibat tekanan daripada pembuli siber.

“Dalam masa sama, mangsa pembuli siber perlu segera melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mereka mengambil tindakan segera.

“SKMM juga telah mengeluarkan kenyataan untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memudahkan proses orang awam membuat aduan buli siber,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×