ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada bagi mempertahankan keputusan untuk tidak lagi meluluskan lesen premis judi di Kedah, seperti dikuatkuasakan tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri telah menghantar notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 24 Jun lalu, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar, empat hari sebelumnya.
Selain itu katanya, notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi juga telah difailkan pada 4 Julai lalu.
“Rayuan itu untuk mempertahankan tindakan kerajaan negeri. Mahkamah Tinggi menafsirkan kerajaan negeri tiada hak untuk buat tindakan sedemikian tetapi di pihak kami, ada lagi perkara lain yang boleh diketengahkan.
“Semua itu akan dibawa ke mahkamah, jadi tak bolehlah saya dedahkan awal. Ada beberapa hal teknikal yang tak patut saya sebut hingga perkara ini dibawa ke Mahkamah Rayuan.
“Selepas ini ada lagi Mahkamah Persekutuan dan kita tunggu sahaja hasilnya nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Pada 20 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan permohonan semakan kehakiman daripada operator perjudian bagi menghalang tindakan kerajaan negeri yang tidak lagi membenarkan premis perjudian berlesen beroperasi di Kedah.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi memaklumkan, syarikat judi dan loteri terlibat turut menuntut ganti rugi daripada kerajaan negeri berikutan tindakan itu.
“Saya pun tak tahu jumlahnya berapa tetapi daripada jumlah dituntut itu, kita boleh tahulah berapa keuntungan diperolehi syarikat judi ini. Kita boleh tahu berapa banyak duit orang Kedah pergi kepada syarikat serta tauke judi dan saya tak mahu perkara itu berlaku.
“Jumlah itu bukan saya yang tentukan tetapi rasanya mahkamah yang akan tafsir nanti. Saya tak boleh ulas mengenainya,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap pihak-pihak yang menentang langkah kerajaan negeri tersebut.
“Perkara ini berkaitan dengan perintah tuhan kepada saya dan Exco. Siapa yang diberi kuasa memerintah, bertanggungjawab mengajak orang mendirikan solat, menunaikan zakat serta melakukan amar makruf, nahi mungkar.
“Saya tak boleh ulas keputusan mahkamah, saya hanya boleh ulas mengenai tanggungjawab selaku Menteri Besar bersandarkan kefahaman saya kepada fungsi dan kuasa ketika tindakan tersebut dilakukan,” katanya. -UTUSAN











