PETALING JAYA: Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh mengakui kegagalan pemain mengawal benteng pertahanan menjadi punca Speedy Tigers dibelasah 10-1 oleh Jerman dalam perlawanan ujian Siri Jelajah Eropah, kelmarin.
Menurut Sarjit, beliau tidak menyangka gawang Speedy Tigers dibolosi dengan jumlah jaringan yang besar selain penyudah tumpul turut mengecewakan pasukan dalam perlawanan berkenaan.
“Sejujurnya saya tidak jangka keputusan dengan jumlah jaringan ini. Struktur pertahanan tidak bekerja dengan baik sekali gus memberi ruang lawan untuk meledak gol.
“Selain daripada pertahanan, Speedy Tigers juga tidak berapa klinikal dalam kawasan kotak penalti. Mereka berani bermain serangan, namun tidak ada penyudah yang baik,” kata Sarjit.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Gladbach, Jerman itu, gol tunggal Speedy Tigers disumbangkan oleh pemain tengah, Fitri Saari pada minit ke-47 menerusi pukulan sudut penalti.
Biarpun menjadi mangsa belasahan Jerman, Sarjit memuji pemain hoki kebangsaan masih mampu bersaing dengan Jerman jika lebih konsisten pada masa kelak.
“Dari sudut positif, pemain sebenarnya mampu untuk bermain dengan Jerman, namun kami kurang bernasib baik kerana kurang konsisten dan pelbagai perkara perlu diperbaiki.
“Saya gembira melihat mereka menentang pasukan terbaik dunia, lebih-lebih lagi berani untuk bermain ‘attacking hockey’ kepada Jerman,” tambah Sarjit.
Sarjit bersama Speedy Tigers meneruskan lagi Siri Jelajah Eropah menentang kelab Jerman, Monchengladbach, hari ini.-UTUSAN










