Ketika sedang menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kehamilan di sebuah hospital, seorang wanita tiba-tiba pengsan dan tidak sedarkan diri.
Mujurlah ketika itu orang ramai dan petugas kesihatan bertindak pantas memberikan wanita berusia 33 tahun itu bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dengan segera.
Wanita berkenaan kemudian dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) dan pakar mengesahkan ibu empat anak berusia antara empat hingga 10 tahun itu mengalami jantung terhenti secara tiba-tiba (CSA).
Pengarah Klinikal Elektrofisiologi IJN, Datuk Dr. Azlan Hussin berkata, wanita berkenaan bernasib baik kerana dapat diselamatkan dalam tempoh beberapa minit kerana kejadian yang berlaku di kawasan orang ramai.
Katanya, CSA adalah keadaan yang sangat serius dengan 50 peratus menyebabkan kematian termasuk separuh daripadanya meninggal dunia di luar hospital.

“Ia berlaku akibat rentak jantung yang terlalu laju hingga darah tidak dapat masuk dan keluar dari bahagian itu sekali gus menyebabkan pesakit pengsan atau tumbang.
“Sedangkan pengepaman jantung memerlukan aliran elektrik yang seragam antara 70 hingga 100 pukulan dalam tempoh seminit.
“Jika terlalu laju, rentak jantung boleh mencapai antara 700 hingga 1,000 pukulan seminit,” katanya dalam sidang akhbar kejayaan IJN memasang bateri di luar jantung, dikenali sebagai Defibrilator Implan Ekstravaskular Aurora (EV-ICD) ke atas wanita berkenaan.
Kejayaan itu sekali gus menjadikan IJN yang pertama menggunakan peranti berkenaan di rantau Asia Tenggara.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim.
Dr. Azlan berkata, sekiranya rentak jantung pesakit tidak dinormalkan semula dengan memasang bateri atau peranti ICD, kerosakan organ penting seperti otak dan paru-paru boleh berlaku.
Lebih menyedihkan mangsa berisiko meninggal dunia secara mengejut.
Punca jantung laju
Dr. Azlan berkata, rentak jantung laju boleh berlaku disebabkan faktor keturunan, struktur jantung, masalah pada injap dan jantung koronari.
Kebiasanya golongan muda yang mengalami rentak jantung laju disebabkan keturunan.
“Jantung juga boleh menjadi laju disebabkan tindak balas secara fisiologikal contohnya, ketika seseorang marah, terlalu risau atau tersekat di dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.
Sekiranya bukan disebabkan faktor itu, ia memerlukan rawatan berbeza tanpa pemasangan bateri.
Penggunaan bateri lebih diperlukan pesakit yang terdedah kepada risiko kematian mengejut akibat CSA.

Fungsi EV-ICD
Dr. Azlan berkata, sistem EV-ICD direka untuk memantau rentak jantung secara berterusan dan memberikan kejutan elektrik yang tepat bagi memulihkannya kepada normal.
“Selain daripada memberikan rawatan defibrilasi yang menyelamatkan nyawa dan anti-tachycardia pacing dalam satu sistem implan, EV-ICD melangkaui kaedah tradisional implan bagi ICD kerana ia dipasang di luar sistem peredaran darah.
“Ciri unik ini memberikan kelebihan dan pilihan alternatif kepada pesakit yang memerlukan ICD tetapi menghadapi halangan dalam implan konvensional atau tradisional,” katanya.
Sebelum ini, ICD konvensional ditanam di bawah tulang bahu dan mempunyai wayar yang dimasukkan ke dalam salur darah untuk sampai ke jantung.
Namun, wayar di dalam jantung berisiko dijangkiti kuman selain kesukaran untuk dikeluarkan di masa depan kerana boleh menjejaskan struktur jantung.
Selain itu, bateri pada bahu boleh patah terutama bagi wanita yang mendukung anak selain pergerakan pesakit terbatas seperti sukar membawa beg atau meletakkan beban di bahu berkenaan.
Bagaimanapun, EV-ICD pula ditanam di tepi rusuk kiri dan mempunyai wayar di luar jantung dan salur darah.
Ini membantu mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang seperti jangkitan kuman.
“Prosedur pemasangan dijalankan menerusi teknik lubang kunci atau laparoskopi yang memakan masa satu jam 15 minit. Proses pemulihan juga lebih cepat dan pesakit hanya perlu duduk di hospital selama dua hari sahaja.
“Prosedur ini cuma meninggalkan parut kecil di bahagian kiri sebelah jantung, tempat peranti dimasukkan di samping di perut yang menjadi lubang kunci,” katanya.
Tambah Dr. Azlan, pesakit dinasihatkan tidak melakukan aktiviti lasak yang membabitkan sentuhan seperti taekwando, rugbi dan tinju yang berisko menyebabkan bateri berkenaan patah.
Peranti ini disepadukan dengan rangkaian syarikat pengeluarnya yang membolehkan doktor dan pasukan memantau keadaan jantung pesakit secara jarak jauh dan mengesan kemungkinan komplikasi dari awal.
IJN sentiasa terkedepan
Sementara itu, Dr. Aizai Azan berkata, pencapaian terbaharu itu mengukuhkan lagi komitmen institusi berkenaan dalam memperkenalkan teknologi terkini untuk menyelamatkan nyawa pesakit
“CSA masih kekal sebagai ancaman kritikal bagi mereka yang mengalami tachycardia atau rentak jantung laju.
“Bateri EV-ICD ini direka khas untuk pesakit dengan rentak jantung tidak normal dan menawarkan perlindungan kepada pesakit bagi mencegah episod yang boleh mengancam nyawa,” katanya.
Bateri yang dipasang mampu bertahan antara 10 hingga 12 tahun.
Selepas tempoh itu, pembedahan kecil akan dilakukan bagi mengeluarkan bateri lama dan digantikan dengan yang baharu.
Bagaimanapun, wayarnya masih dikekalkan kerana mampu bertahan antara 30 hingga 40 tahun atau selepas lima hingga enam kali pertukaran bateri sepanjang hayat pesakit.
Wayar di luar jantung lebih mudah dikeluarkan sekiranya berlaku jangkitan berbanding wayar ICD tradisional yang menjejaskan struktur jantung.
Bagaimanapun bateri atau peranti lama masih digunakan kerana kebanyakan implan akan menggunakan kaedah lama.
Ini disebabkan kos peranti baharu yang lebih premium dan kebanyakan pesakit warga emas berusia antara 60 hingga 70 tahun.
Sejak 25 tahun lalu, IJN sudah memasang lebih 10,000 peranti, membabitkan 400 hingga 500 kes setahun yang memerlukan ICD.
“Bagaimanapun, IJN berharap kos ini dapat dikurangkan dari masa ke semasa selaras dengan perkembangan teknologi dalam rawatan jantung,” katanya.










