BAGAN SERAI: Seorang penternak ikan sangkar air tawar di Parit Gabis Atas di sini kerugian kira-kira RM40,000 apabila ternakannya mati kerana kekurangan oksigen disebabkan paras air dalam parit di depan rumahnya surut.
Keadaan itu disebabkan bekalan air tidak lagi dibekalkan ke sawah di kawasan itu sejak minggu lalu berikutan Tasik Bukit Merah di sini hampir kering berikutan musim panas.
Penternak tersebut, Mohd Nazri Mohd Yaacob, 28, berkata, dia menternak tiga jenis ikan iaitu talapia, baung dan keli dalam 12 sangkar di dalam parit berdekatan rumahnya.
Menurutnya, dua hari lalu, dua jenis ikan iaitu talapia dan baung menjadi ‘mabuk’ dan timbul lalu mati disebabkan penyusutan paras air.
Katanya, apabila surut, air akan menjadi panas selain kerja-kerja membersihkan parit menggunakan mesin menyebabkan ikan menjadi mabuk.
Menurut Mohamad Nazri, keadaan itu kali kedua berlaku dalam tempoh empat tahun disebabkan berlaku penyusutan air akibat musim kemarau.
Jelasnya, apabila berlaku penyusutan air di Empangan Bukit Merah, pintu air ditutup menyebabkan parit juga mengalami penyusutan air yang ketara.
Katanya, ikan talapia dan baung yang mati rata-ratanya seberat 300 gram seekor.










