KANGAR: Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Che Murad Sayang Ramjan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan negeri yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau itu adalah bagi menggantikan Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang akan menyambung perkhidmatan ke KKDW berkuatkuasa 3 Julai.
Che Murad yang berkelulusan Sarjana Sastera (Kajian dan Analisis Keselamatan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam dengan pelantikan sebagai Penolong Setiausaha, Pasukan Petugas Khas Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Disember 1996.
Beliau yang juga merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak, sebelum ini pernah berkhidmat di beberapa kementerian antaranya seperti KDN, Kementerian Perladangan dan Komoditi dan KKDW.
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan-jawatan penting KDN dan KKDW sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW pada 23 November 2018.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Che Murad yang diharap dapat membantu dalam memberi impak lebih baik kepada negeri ini.
“Dengan pengalaman beliau yang berkhidmat di beberapa kementerian diharap dapat digarapkan dalam menjadikan Perlis sebuah negeri berjaya,” katanya.
Mengulas mengenai pertukaran tiga Setiausaha Kerajaan Negeri dalam tempoh setahun, Mohd. Shukri berkata, proses itu adalah disebabkan oleh kenaikan pangkat dan kerajaan negeri tidak berupaya untuk menghalang.
Katanya, pihaknya memegang polisi untuk tidak menghalang masa depan mana-mana pihak daripada berpindah susulan tawaran bagi kenaikan pangkat tersebut.
“Kalau melibatkan pertukaran mungkin kita boleh usaha kekalkan mereka di sini, tapi apabila membabitkan kenaikan pangkat maka saya punya polisi adalah kita tidak akan halang masa depan seseorang,” katanya.
Sementara itu, Che Murad berkata, sebagai penjawat awam, pihaknya akan memberi perkhidmatan terbaik malah negeri ini juga turut mempunyai potensi besar khususnya dalam aspek pelancongan.
Beliau berkata, terdapat beberapa ruang yang boleh diteroka selepas ini dengan pelbagai pihak dalam bersama-sama membangunkan pelancongan di negeri ini.
“Tentu sekali saya cuba membantu dengan meminta agensi-agensi di bawah KKDW yang boleh bekerjasama membangunkan Perlis.-UTUSAN











