Jumlah kelahiran menurun sejak 2012

Jumlah kelahiran menurun sejak 2012

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah ke­lahiran hidup di negara ini mencatatkan penurunan sejak 2012 dan situasi itu berkait rapat dengan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) yang juga menunjukkan penurunan semakin ketara.

Menteri Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan, TFR di Malaysia turun daripada 2.1 anak pada 2010 kepada 1.6 pada 2022.

“Terdapat pelbagai faktor menyumbang penurunan TFR. Ini termasuk ekonomi, cara gaya hidup yang boleh mempengaruhi keputusan pi­lihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.

“Dalam masa sama, ma­salah ketidaksuburan turut boleh mempengaruhi kadar TFR,” katanya ketika menggulung Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2021 dan 2022 di Dewan Rak­yat, semalam.

Berikutan itu, kata Nancy, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu ketidaksuburan termasuk menawarkan rawatan kesu­buran sejak 1979 pada kos berpatutan.

“Selain itu, klinik kese­jahteraan lelaki yang menawarkan ujian saringan kesihatan lelaki, khidmat nasihat masalah seksual dan amalan gaya hidup serta rawatan ubat untuk membantu meningkatkan kesuburan lelaki.

“Ketiga, memberi insentif kepada pasangan dalam mendapatkan rawatan kesuburan dengan pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan sehingga RM8,000,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, LPPKN juga diberi mandat menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara yang di­lengkapi segala kemudahan rawatan kesuburan di bawah satu bumbung bagi memberi perkhidmatan serba moden dan berpatutan.

“Pusat ini akan dibangunkan di Shah Alam, Selangor dan bakal menjadi pusat rujukan perkhidmatan kesuburan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×