PRK Sungai Bakap: Hanya satu kertas siasatan dibuka setakat ini

PRK Sungai Bakap: Hanya satu kertas siasatan dibuka setakat ini

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah membuka satu kertas siasatan berkaitan dengan satu laporan merosakkan bahan-bahan kempen seperti bendera dan kain rentang parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, di sini hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Sebanyak satu laporan polis diterima dan satu kertas siasatan telah dibuka meliputi kesalahan merosakkan bahan kempen,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis selepas mendakwa ada pihak cuba mensabotaj bahan kempen jentera Perpaduan dalam PRK itu dengan merosakkan gegantung serta bendera parti.

Ketuanya, Muhammad Fadzli Roslan, mendakwa sebanyak 38 gegantung dan 53 bendera yang dipasang di sekitar kawasan Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini telah diturunkan pihak tidak bertanggungjawab malah ada antaranya dibuang di dalam longkang.

Menurut Hamzah, memasuki hari ketujuh bagi tempoh kempen PRK Sungai Bakap, sebanyak 11 lagi permit telah diluluskan oleh pihak polis dan tiada permohonan yang ditolak.

“Jumlah keseluruhan permit yang diluluskan pada tempoh berkempen adalah 45 permit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak menimbulkan provokasi semasa berkempen, termasuk melakukan perbuatan khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen pilihan raya.

“Pihak polis sentiasa memantau aktiviti di media sosial untuk mengesan sebarang penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Polis juga akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr. Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, akibat keradangan dalam perut pada 24 Mei lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×