KOTA BHARU: Isteri kepada pesara guru tidak menyangka Allah SWT memakbulkan hajat suaminya yang mahu meninggal dunia semasa menunaikan haji di Mekah selepas menderita penyakit kanser organ dalaman atau kanser periampullary.
Abd. Wahab Ramli, 60, dan isteri, Noraini Mat Sari, 59, sepatutnya pulang ke tanah air semalam, namun arwah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Mekah pukul 4.48 pagi kelmarin.
Noraini berkata, arwah suaminya yang menghidap kanser empat bulan lalu kerap memaklumkan hajatnya untuk meninggal dunia di Mekah kepada keluarga dan rakan-rakannya.
Menurutnya, dia mengakui terkejut selepas menerima berita suaminya meninggal dunia daripada pihak TH semasa sedang bersiap-siap untuk membuat tawaf wada.
“Sepatutnya kami bersama-sama pulang ke tanah air semalam, tetapi arwah meninggal dunia selepas 48 hari mengerjakan ibadah haji.
“Kesihatan arwah suami sebenarnya merosot sepanjang berada di Mekah,” katanya ketika ditemui pemberita semasa kunjungan Pemangku Pengarah Lembaga TH Kelantan, Mohamad Rosli Mustapai ke rumahnya di Kampung Keseng, Kuala Besar di sini semalam.- UTUSAN










