KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) merekodkan 31,742 banduan dibebaskan awal sejak tahun 2022 sehingga kini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia langkah diambil bagi menangani isu kesesakan dalam penjara yang sentiasa diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri melalui (JPM) komited untuk melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani isu kesesakan dalam penjara khususnya melalui program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
“Mengikut rekod JPM, statistik terkini jumlah banduan yang dibenarkan bebas awal menerusi program PBSL adalah seramai 31,742 Orang Bebas Berlesen (OBB) dari tahun 2022 sehingga kini.
“Program PBSL ini juga turut boleh dipertimbangkan untuk kategori banduan berusia, kurang upaya, sakit kronik dan wanita mengandung yang menjalani hukuman penjara empat tahun dan ke bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Datuk Seri Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang memintanya menyatakan statistik terkini jumlah banduan yang dibenarkan bebas awal menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada kerajaan berhasrat untuk melaksanakan program tahanan dalam rumah bagi individu yang berkelayakan sebagai salah satu cara mengurangkan kesesakan dalam penjara.
Menjawab mengenai soal program tahanan dalam rumah, Saifuddin Nasution berkata, KDN sedang meneliti pelaksanaan program tersebut.
“KDN sedang meneliti pelaksanaan program tahanan rumah kepada individu yang layak melalui penggubalan akta baharu sebagai salah satu usaha untuk menangani isu kesesakan dalam penjara dan juga reformasi institusi penjara,” katanya.- UTUSAN










