Pelantikan Siti Nurhaliza pilihan yang tepat

Pelantikan Siti Nurhaliza pilihan yang tepat

AFDLIN SHAUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki menyifatkan pelantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai Pakar Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCced) sebagai pilihan yang tepat.

Kata Afdlin, pelantikan itu tidak perlu dipertikaikan kera­na pemilihan penyanyi tersohor berkenaan untuk gelaran tersebut adalah berdasarkan pengalaman serta pencapaian beliau dalam bidang berkaitan.

“Semua orang boleh beri komen, tapi sebaiknya, sebelum berbuat demikian, lakukanlah kaji selidik terlebih dahulu.

“Lantikan Siti berdasarkan pengalaman dan pencapaian beliau dalam industri berke­naan. Itu yang melayakkan beliau, tetapi tidaklah menukar status beliau menjadi pakar akademik.

“Siti adalah antara penggiat seni yang paling berjaya dalam bidangnya dan mungkin berdasarkan pencapaian itu, universiti berprestij negara ber­kenaan nampak kelebihan beliau dalam berkongsi dan memberi pendedahan mengikut saluran akademik tentang industri tersebut. Beliau cukup layak.

“Saya harap kepada mereka yang mempersoalkan lantikan beliau mungkin wajar fahamkan dahulu asas pelantikan itu, kenapa beliau dipilih dan apa tanggungjawab yang beliau bakal curahkan kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kecoh di media sosial apabila muncul segelintir netizen mempersoal kelayakan Siti selaku pakar UMCced sebaik pelantikan itu diumumkan baru-baru ini.

Ada yang berpandangan Siti tidak layak bagi lantikan berkaitan hanya disebabkan beliau bukan dalam kalangan graduan universiti.

Afdlin yang baru-baru ini dilantik sebagai profesor ajung di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Universiti Utara Malaysia (UUM) juga berharap masyarakat memberi sokongan dan semangat buat mana-mana selebriti yang di­pilih untuk berkongsi ilmu dan pengalaman menerusi lunas akademik.

“Contoh saya, dilantik sebagai profesor adung di UUM untuk bantu universiti tersebut beri pendedahan tentang dunia sebenar industri seni dan kerana itu, pelantikan dibuat berdasarkan pengalaman dan pencapaian saya.

“Ini tidak menjadikan saya pakar akademik, sebaliknya sebagai orang industri yang dijemput untuk beri perkongsian dalam kuliah yang paling minimum pun diadakan sekali dalam satu semester,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×