Radhi OAG tuntut label bayar royalti enam tahun - Utusan Malaysia

Radhi OAG tuntut label bayar royalti enam tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Muhammad Radhi Razali atau Radhi OAG tampil menuntut label yang pernah menaungi kumpulan itu sebelum ini agar membayar semua royalti bagi setiap lagu OAG yang diperdengarkan di platform penstriman bermula enam tahun lepas.

Katanya Radhi, tuntutan tersebut adalah untuk mendapatkan haknya selaku anggota kumpulan itu yang ditubuhkan sejak lebih tiga dekad lalu.

“Saya telah lantik peguam dan pada tahun lepas, telah menghantar surat untuk minta penjelasan mengenai hal itu kepada salah sebuah daripada tiga label yang pernah menaungi OAG sebelum ini.

“Saya minta mereka perincikan tentang status, di mana, bagaimana untuk saya dapatkan bayaran royalti bagi semua lagu OAG yang dimainkan di platform berkenaan untuk tempoh berkenaan.

“Proses ini makan masa dan saya pada masa yang sama perlu daftarkan surat perakuan untuk membuktikan lagu-lagu yang diperdengarkan, yang antaranya diterbitkan sejak tahun 1992 lagi adalah karya kami.

“Jadi buat masa ini, saya tuntut untuk tempoh enam tahun dulu,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.

OAG ditubuhkan pada tahun 1992 dengan penerbitan lebih 14 buah album setakat ini.

Radhi dalam pada itu berharap isu tersebut diselesaikan secara telus dengan menggunakan lunas undang-undang.

“Mungkin silap saya sebelum ini yang ambil ringan soal isu royalti.

“Tapi kali ini saya kena bertegas kerana membabitkan hak saya selaku ahli OAG,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×